Latest News
PTMP Map
PSI
 

Pulau Pinang mohon semakan pembatalan kelulusan EIA PSR

Pulau Pinang mohon semakan pembatalan kelulusan EIA PSR

Published by BHarian • 16/09/2021 • 11:56 am

Pelan cadangan Projek Tambakan Laut Selatan Pinang (PSR). – Foto fail NSTP

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang akan memohon semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) susulan pembatalan kelulusan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) bagi Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).

 

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Zairil Khir Johari, berkata selepas meneliti keputusan itu, pihaknya mengambil maklum bahawa ia adalah berasaskan kepada ketidakpatuhan proses perancangan semata-mata dan bukannya atas hujah substantif ataupun ‘merits of the case’.

 

Katanya, menurut keputusan bertulis Lembaga Rayuan, laporan EIA itu didapati tidak memenuhi kehendak Seksyen 34A(4)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSN2030) dianggap belum lagi berkuat kuasa pada ketika kelulusan EIA diberi.

 

“Kerajaan negeri tidak bersetuju dengan keputusan Lembaga Rayuan dan berpendapat bahawa segala proses dan tatacara perancangan serta kelulusan yang perlu, sudah dipatuhi.

 

“Ini termasuk kelulusan RSN2030 oleh pihak berkuasa negeri melalui Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) pada 14 Mac 2019 serta pembentangan kepada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) pada 18 April 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Mengulas lanjut Zairil berkata, kedua-dua pematuhan itu dianggap memadai bagi kehendak Seksyen 34A(4)(a) yang menetapkan bahawa projek berkenaan hendaklah selari dengan ‘development plan or physical plan approved by the relevant approving authority’.

 

Justeru, kelulusan yang diberi oleh Ketua Pengarah JAS pada 15 Jun 2019 tidak bercanggah sama sekali dengan keperluan akta.

 

“Susulan itu, EXCO yang bersidang pada 15 September 2021 sudah bersetuju bagi mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga Rayuan berkenaan.

 

“Pada masa sama, kerajaan negeri juga akan memulakan proses pengemukaan semula laporan EIA kepada JAS supaya projek yang kritikal bagi pemulihan ekonomi negeri pada pasca-COVID-19 ini dapat diteruskan bagi kemaslahatan rakyat,” katanya lagi.

 

Terdahulu, Lembaga Rayuan JAS memutuskan bagi mengetepikan kelulusan EIA bagi projek tambak laut yang membentuk tiga pulau buatan di perairan selatan serta menjadikannya sebagai terbatal dan tidak lagi sah selepas ia diperoleh pada 25 Jun 2019.

 

Notis rayuan berkenaan difailkan kepada Lembaga Rayuan pada 29 Julai 2019 mengikut Seksyen 35 (1) (e) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (EQA 1974).

 

Kerajaan Pulau Pinang kemudian mempertimbang tindakan undang-undang menerusi permohonan semakan kehakiman (judicial review) ke atas keputusan Lembaga Rayuan susulan pembatalan kelulusan itu sementara mendapat salinan rasmi perintah Lembaga Rayuan secara bertulis.

 

Kerajaan negeri turut mempertimbang tindakan lain, antaranya kemungkinan bagi mengemukakan satu laporan EIA yang dikemaskini semula berdasarkan kepada kelulusan Pihak Berkuasa Negeri yang dirujuk dalam keputusan Lembaga Rayuan berkenaan.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!