Latest News
PTMP Map
PSI
 

Pulau Pinang fail semakan kehakiman keputusan Lembaga Rayuan JAS

Pulau Pinang fail semakan kehakiman keputusan Lembaga Rayuan JAS

Published by Utusan Malaysia • 16/09/2021 • 01:17 pm

KERAJAAN Negeri Pulau Pinang memfailkan semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga Rayuan JAS yang mengakibatkan pembatalan kelulusan Laporan EIA bagi projek tambak laut bagi membentuk tiga buah pulau buatan di perairan selatan negeri ini (PSR).

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertindak memfailkan semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mengakibatkan pembatalan kelulusan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) bagi projek tambak laut bagi membentuk tiga buah pulau buatan di perairan selatan negeri ini (PSR).

 

Pengerusi Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, pada masa yang sama, kerajaan negeri juga akan memulakan proses mengemukakan semula laporan EIA kepada JAS agar projek yang kritikal bagi pemulihan ekonomi negeri ini pada pasca-Covid-19 dapat diteruskan bagi kemaslahatan rakyat.

ZAIRIL KHIR JOHARI

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang bersidang semalam telah bersetuju untuk mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga Rayuan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sebelum ini, Lembaga Rayuan JAS mengetepikan kelulusan Ketua Pengarah JAS yang memberi kelulusan EIA untuk PSR.

 

Keputusan Lembaga Rayuan JAS itu menyaksikan kelulusan EIA bagi projek berkenaan yang diperoleh pada 25 Jun 2019 adalah terbatal dan tidak lagi sah.

 

Mengulas lanjut Zairil berkata, kerajaan negeri mengambil maklum bahawa keputusan tersebut adalah berasaskan kepada ketidakpatuhan proses perancangan semata-mata dan bukannya atas hujah-hujah substantif ataupun ‘merits of the case’.

 

“Menurut keputusan bertulis Lembaga Rayuan, laporan EIA tersebut didapati tidak memenuhi kehendak Seksyen 34A(4)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSN2030) dianggap belum lagi berkuat-kuasa pada ketika kelulusan EIA diberi.

 

“Kerajaan negeri tidak bersetuju dengan keputusan Lembaga Rayuan dan berpendapat bahawa segala proses dan tatacara perancangan serta kelulusan-kelulusan yang perlu telah pun dipatuhi.

 

“Ini termasuk kelulusan RSN2030 oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) pada 14 Mac 2019 serta pembentangan kepada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) pada 18 April 2019,” katanya.

 

Tambahnya, kedua-dua pematuhan itu dianggap memadai bagi kehendak Seksyen 34A(4)(a) yang menetapkan bahawa projek tersebut hendaklah selari dengan ‘development plan or physical plan approved by the relevant approving authority’.

 

“Justeru, kelulusan yang diberi oleh Ketua Pengarah JAS pada 15 Jun 2019 tidak bercanggah sama sekali dengan keperluan-keperluan Akta,” katanya. – UTUSAN

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!