Latest News
PTMP Map
PSI
 

Projek tambak laut selatan Pulau Pinang berpotensi tarik pelaburan: Nusa

Projek tambak laut selatan Pulau Pinang berpotensi tarik pelaburan: Nusa

Published by Sinar Harian • 14/04/2021

Nusa menyokong usaha kerajaan negeri melaksanakan projek PSR yang dilihat memberi kebaikan kepada semua pihak terutamanya rakyat Pulau Pinang.

GEORGETOWN – Persatuan Kemajuan Nusa Pulau Pinang (Nusa) menyokong penuh projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) yang dilihat mampu melonjakkan pelaburan luar ke Pulau Pinang selepas ia siap kelak.

 

Pengerusinya, Hazizi Padzil berkata, pihaknya melihat projek itu dari sudut positif yang mana ia mampu menyediakan peluang pekerjaan terutamanya kepada rakyat di negeri ini.

 

Menurutnya, tiada sikap gelojoh yang ditunjukkan kerajaan negeri dalam memulakan projek mega tersebut seperti yang didakwa beberapa pihak sebelum ini.

 

“Projek PSR ini dijangka mampu membawa masuk lebih banyak pelaburan berbanding yang diperoleh pada tahun lalu iaitu sebanyak RM14.1 bilion. Dengan penerangan yang diberikan oleh Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Nusa mendapati kerajaan negeri melaksanakan projek seperti yang dirancang.

 

“Projek itu juga didapati dijalankan mengikut aturan masa dan tempoh. Nusa mengambil sikap positif berbanding pertubuhan lain yang sering membantah projek PSR ini antaranya Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (Lekas) dan Pas Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

 

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tindakan Pas Pulau Pinang yang membantah projek PSR, namun tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung projek tambakan di Pulau Langkawi, Kedah.

 

“Pas Pulau Pinang mengecam projek PSR, namun apa yang menghairankan mereka hanya berdiam apabila Kedah yang diterajui Pas mengancam untuk menyekat air Sungai Muda daripada mengalir ke Pulau Pinang.

 

“Mereka juga tidak bersuara apabila Kedah juga akan menjalankan projek pembangunan yang melibatkan kerja-kerja tambakan di Langkawi. Jika benar mereka ini pejuang tegar alam sekitar, mereka perlu bersuara. Adakah ini menunjukkan Pas Pulau Pinang hipokrit?” katanya.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!