Latest News
PTMP Map
PSI
 

Pelan induk PSR dijangka siap Mei ini

Pelan induk PSR dijangka siap Mei ini

Published by Utusan Malaysia • 29/03/2021 • 05:29pm

ZAIRIL Khir Johari ketika sesi libat urus antara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang di Georgetown, Pulau Pinang.

GEORGETOWN: Syarikat Bjarke Ingels Group (BIG) yang bertanggungjawab menyediakan pelan induk pembangunan projek tambakan laut selatan (PSR) dijangka menyiapkan reka bentuk terperinci (detailed masterplan design) dan garis panduan reka bentuk urban (urban design guideline) bagi projek berkenaan pada akhir Mei ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, setakat ini kerja pembinaan bagi projek PSR masih belum dimulakan kerana kerajaan negeri sedang menunggu kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

 

“EMP tersebut merupakan salah satu syarat dalam kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang wajib dipatuhi.

 

“Kerajaan negeri menjangkakan pihak JAS akan memaklumkan keputusan permohonan EMP tersebut tidak lama lagi,” katanya dalam sesi libat urus antara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

 

Menurut Zairil, permohonan kebenaran merancang untuk memulakan aktiviti menebus guna tanah PSR itu telah diperakui pada 3 Mac lalu.

 

“Sementara itu, kebenaran merancang bagi pembangunan ‘topside’ pula telah dikemukakan kepada PLANMalaysia (JPBD) pada 12 Januari lalu dan turut diedarkan kepada 31 jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan.

 

“Pihak JPBD dijangka memberikan taklimat kepada Jawatankuasa Teknikal Perancangan pada akhir Mac sebelum mengemukakan saranan kepada Jawatankuasa Perancang Negeri untuk keputusan pembentangan kepada Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) yang dijangka Julai ini,” katanya.

 

Dalam pada itu Zairil berkata, kerajaan negeri dan SRS Consortium Sdn. Bhd. sedang menjalankan perbincangan dengan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) untuk memuktamadkan lokasi stesen transit aliran ringan (LRT) di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

 

Katanya, lokasi stesen itu adalah antara perkara yang perlu dimuktamadkan bagi mendapat kelulusan penuh daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!