Latest News
PTMP Map
PSI
 

Pakej Bantuan Rakyat ‘lanjutan’, pertimbang golongan tercicir jika dilaksana – Kon Yeow

Pakej Bantuan Rakyat ‘lanjutan’, pertimbang golongan tercicir jika dilaksana – Kon Yeow

Published by Buletin Mutiara • 12/04/2020

BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri bakal memberi pertimbangan kepada golongan terkesan yang tercicir sekiranya Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang ‘lanjutan’ dilaksanakan.

 

Perkara tersebut dizahirkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sejurus Majlis Sumbangan Bekalan Makanan Asas kepada golongan nelayan di sini sebentar tadi.

 

Menurut Kon Yeow, nelayan merupakan antara yang ‘tercicir’ di dalam Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang yang diumumkan Kerajaan Negeri baru-baru ini bertujuan membantu meringankan beban golongan terkesan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lalu.

 

“Sebagaimana yang kita tekankan bahawa ramai yang terjejas pendapatannya termasuk golongan nelayan, Kerajaan Negeri akan cuba menyampaikan bantuan yang ada demi kepentingan semua.

 

“Golongan nelayan dalam Pakej Bantuan Rakyat (Pulau Pinang) tidak termasuk, namun pada masa akan datang sekiranya ada bantuan seterusnya, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan golongan-golongan yang tercicir di dalam pakej pertama sebelum ini,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi pada majlis berkaitan.

 

Hadir sama, Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain; Azrul Mahathir Aziz (ADUN Bayan Lepas); Dato’ Ar. Yew Tung Seang (Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP); Dato’ Lim Hock Seng (Ketua Seksyen Pengangkutan) dan Azmi Mohamad (Timbalan Pengarah Projek SRS Consortium Sdn. Bhd.).

 

Seramai 30 nelayan daripada Unit Nelayan Teluk Kumbar, Permatang Damar Laut, Gertak Sanggul dan Sungai Batu terpilih untuk menerima bekalan keperluan makanan asas sumbangan Kerajaan Negeri sebentar tadi.

 

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!