Latest News
PTMP Map
PSI
 

Nelayan sokong cadangan projek tambakan laut di selatan Pulau Pinang sekiranya pampasan setimpal

Nelayan sokong cadangan projek tambakan laut di selatan Pulau Pinang sekiranya pampasan setimpal

Published by Buletin Mutiara • 19/03/2019

BAYAN LEPAS – Cadangan projek tambakan laut bagi membentuk tiga pulau buatan di perairan selatan Pulau Pinang menimbulkan reaksi positif terutamanya dalam kalangan nelayan.

 

Tinjauan Buletin Mutiara di sekitar kawasan Teluk Kumbar kelmarin mendapati bahawa rata-rata golongan nelayan yang ditemui menyatakan sokongan dan harapan tersendiri jika projek tersebut berjaya dilaksanakan kelak.

 

Bagi HADITH SAIDIK, 51, sekiranya projek tambakan laut itu memberikan kesan positif kepada golongan nelayan di masa hadapan, beliau tidak mempunyai masalah untuk melahirkan sokongan kepada Kerajaan Negeri.

 

“Jika ia benar-benar memberikan kesan positif kepada golongan nelayan seperti kami, saya tiada masalah untuk menyokongnya, tetapi biarlah ia dilaksanakan dengan telus.

 

“Kalau nak kata tambak (laut) ni datangkan keburukan, tengok kawasan kilang (di Bayan Lepas) pun semua dulunya adalah kawasan tambak, tetapi sekarang ia beri kesan ekonomi kepada Pulau Pinang dan penduduk, jadi baguslah jika pulau ini boleh berikan impak ekonomi serupa kepada kami.

 

“Contohnya, kami (nelayan) boleh buat perkhidmatan teksi air, itu sememangnya ada ditawarkan juga kepada kami sebagai salah satu sumber pendapatan, generasi akan datang juga boleh mencari peluang pekerjaan di sana.

 

“Tetapi, apa yang kami perlukan adalah ‘hitam putih’ seperti nilai sebenar pampasan dan sebagainya untuk kami teruskan kelangsungan hidup kami di sini, saya yakin jika permintaan ini dipenuhi, nelayan tiada masalah menyatakan sokongan mereka,” ujar beliau yang sudah bergelumang dengan ombak laut sejak usia belasan tahun lagi.

 

Pampasan setimpal yang dimaksudkan Hadith termasuklah enjin bot berkuasa besar dan kapasiti bot yang bersesuaian berikutan jika projek tambakan tersebut berjaya dilaksanakan, jarak untuk keluar menangkap ikan akan lebih jauh.

 

HADITH Saidik

 

Projek tambakan laut membentuk tiga pulau buatan di selatan perairan Pulau Pinang adalah bagi memperoleh dana untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) di samping menyediakan pelbagai kemudahan kepada pihak nelayan.

 

Dalam tinjauan semalam, SRS Consortium selaku rakan pelaksana projek turut membantu bagi mendapatkan informasi dan maklum balas dari golongan nelayan di kawasan Teluk Kumbar.

 

Manakala, bagi IDRIS ISMAIL, 64, tanpa berselindung beliau terus menyuarakan sokongan apabila diajukan mengenai isu tersebut.

 

“Kalau tengok dulu, masa nak buat Jambatan Kedua dahulu pun, orang (nelayan) tak mau, cakap kononnya kurang hasil, tetapi sekarang di kawasan tu jadi tempat tangkapan udang.

 

“Tambak pun bagus juga sekurang-kurangnya nelayan pukat a pollo dengan pukat rimau tak boleh lagi datang ceroboh kawasan kami di pesisir pantai,” ujarnya.

 

Jelas beliau, sekiranya rancangan tersebut menjadi kenyataan, apa yang diharapkan agar golongan nelayan mempunyai peluang melalui sektor perniagaan dan pemilikan rumah.

 

“Jika betul-betul jadi, biarlah kami (nelayan) yang telah lama mencari makan di perairan selatan ni diberikan keutamaan untuk pemilikan rumah di sana dan juga peluang perniagaan,” ujarnya lanjut.

 

Bagi mendapatkan temu bual penuh, orang ramai boleh dapatkan naskah Buletin Mutiara Edisi 1-15 April akan datang.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

 

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!