Latest News
PTMP Map
PSI
 

Kerajaan Negeri tubuh syarikat SPV terajui pelaksanaan PTMP

Kerajaan Negeri tubuh syarikat SPV terajui pelaksanaan PTMP

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini mengumumkan penubuhan syarikat bertujuan khas (SPV), Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. bagi menerajui pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri itu telah didaftarkan di bawah Akta Syarikat 2016 dan berjaya diperbadankan pada 9 Julai lalu.

 

“Pemerbadanan syarikat ini adalah bertujuan melaksanakan projek infrastruktur mega yang merangkumi komponen Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas, Lebuhraya Pan Island Link 1 dan 2A, (PIL 1 dan PIL 2A), projek tambakan laut selatan Pulau Pinang (PSR), tiga jalan utama serta terowong dasar laut.

Chow Kon Yeow menunjukkan lampiran berkaitan status terkini pelaksanaan komponen-kompenan PTMP semasa sidang media sebentar tadi.

“Selain itu, Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. juga turut terlibat untuk merancang dan membangunkan kawasan PSR termasuk pembangunan di atas tiga pulau apabila ia siap, kelak,” katanya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

 

Turut serta, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Pegawai Undang-undang Negeri, Dato’ Norazmi Mohd. Narawi dan Ketua Seksyen Pengangkutan Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Lim Hock Seng.

 

Difahamkan, projek LRT Bayan Lepas, PIL 1 dan 2A serta PSR adalah dipertanggungjawabkan kepada SRS Consortium Sdn. Bhd. selaku rakan pelaksana projek (PDP) manakala Zenith Consortium Sdn. Bhd. pula bagi pelaksanaan projek bagi tiga jalan utama dan terowong dasar laut.

 

Kon Yeow menambah, ahli-ali lembaga pengarah syarikat baru itu adalah terdiri daripada beliau sendiri selain Abdul Razak serta Zairil.

 

“Penambahan ahli-ahli lembaga pengarah akan diputuskan dari semasa ke semasa dengan pelantikan pakar-pakar dalam bidang tertentu dan mesyuarat ahli lembaga pengarah pertama dijadualkan pada petang ini juga.

 

“Justeru, Kerajaan Negeri sebagai penggerak projek PTMP berharap agar dengan tertubuhnya syarikat ini, pelaksanaan tugas segera terutamanya oleh pihak SRS Consortium bagi tujuan merancang dan penambakan Pulau A serta komponen LRT akan berjalan lebih lancar,” ujarnya.

 

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Kon Yeow memberitahu bahawa kerja-kerja awalan bagi komponen-komponen PTMP sedang giat dilaksanakan.

 

“Memegang prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus), Kerajaan Negeri akan memastikan rakyat di negeri ini sentiasa mendapat meklumat terkini PTMP serta komponen-komponennya sepanjang tempoh pembinaan berjalan.

 

“Serentak itu, Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. juga akan bekerjasama dengan PDP bagi meneliti rancangan kewangan bagi pembiayaan komponen-komponen utama PTMP dengan segera bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek berkaitan,” ulasnya lagi.

 

Menjawab soalan pemberita, Kon Yeow menegaskan kos bagi pembiayaan semua komponen PTMP akan diputuskan selepas Kerajaan Negeri menerima perincian rancangan kewangan daripada SRS Consortium Sdn. Bhd..

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!