Latest News
PTMP Map
PSI
 

JAS hormati keputusan Lembaga Rayuan

JAS hormati keputusan Lembaga Rayuan

Published by Sinar Harian • 10/09/2021

Jabatan Alam Sekitar

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan penggerak projek tambak laut bagi membentuk tiga buah pulau buatan di Perairan Selatan (PSR) Pulau Pinang perlu mengemukakan laporan kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) yang baharu sekiranya masih berhasrat meneruskan projek tersebut.

 

Ia susulan keputusan dibuat Lembaga Rayuan JAS yang mengetepikan kelulusan EIA untuk projek berkenaan.

 

Menerusi kenyataan pada Jumaat, Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling

 

JAS, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, pihaknya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Lembaga Rayuan.

 

Sehubungan itu, kelulusan laporan EIA yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling pada 25 Jun 2019 diketepikan kerana keputusan tersebut adalah tidak sah dan terbatal.

 

Lembaga Rayuan di bawah Seksyen 36, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] bersidang pada 6 hingga 8 September bagi mendengar bantahan awal perayu iaitu Zakaria Ismail dalam rayuan terhadap keputusan responden iaitu Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling yang meluluskan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) Terperinci Bagi ‘The Proposed Reclamation and Dredging Works for Penang South Reclamation’ pada 25 Jun 2019.

 

Lembaga Rayuan setelah mendengar dan meneliti dokumen serta hujahan yang dikemukakan oleh perayu dan responden, membuat keputusan mengikut kuasa yang diperuntukan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Lembaga Rayuan), 2003 untuk membenarkan bantahan awal oleh perayu.

 

Pada Rabu, Lembaga Rayuan JAS membuat keputusan mengetepikan kelulusan EIA untuk projek tambak laut bagi membentuk tiga buah pulau buatan di Perairan Selatan (PSR) Pulau Pinang.

 

Keputusan itu dibuat oleh tiga anggota Lembaga Rayuan JAS iaitu Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayub; pakar alam sekitar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mazlin Mokhtar dan Profesor Madya Dr Ramdzani Abdullah dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Peguam, Meenakshi Raman berkata, notis rayuan berkenaan difailkan kepada Lembaga Rayuan oleh Zakaria pada 29 Julai 2019 mengikut Seksyen 35 (1) (e) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (EQA 1974).

 

Beliau yang mewakili Zakaria menjelaskan, pembatalan EIA itu bermaksud Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi projek berkenaan yang sedang ditunggu kelulusannya juga sudah tidak boleh diguna pakai.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!