Latest News
PTMP Map
PSI
 

Hasrat terbit bon biaya LRT Pulau Pinang tunggu lampu hijau Putrajaya – Ketua Menteri

Hasrat terbit bon biaya LRT Pulau Pinang tunggu lampu hijau Putrajaya – Ketua Menteri

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa hasrat menerbitkan bon bagi membiayai kos pembinaan skim projek transit aliran ringan (LRT) di Pulau Pinang adalah bergantung kepada kelulusan Kerajaan Persekutuan hari ini.

 

“Saya telah mengemukakan surat kepada YAB Perdana Menteri berkenaan surat persetujuan kepada Kerajaan Negeri untuk cadangan penerbitan bon dengan jaminan Kerajaan Persekutuan.

 

“(Kerajaan Negeri) masih menunggu maklum balas berhubung perkara ini,” jelasnya semasa menyampaikan ucapan penggulungan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 dekat Dewan Sri Pinang di sini pada 19 Oktober 2020.

 

Terdahulu, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi pernah menyatakan hasrat untuk mendapatkan RM1 bilion pinjaman mudah daripada Kerajaan Persekutuan.

 

Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa menjadi Perdana Menteri dalam balasan surat bertarikh 1 Oktober 2019 antara lain mencadangkan Kerajaan Negeri menerbitkan bon dengan jaminan Kerajaan Persekutuan sendiri.

 

Sebagaimana cadangan Persekutuan, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri pada 9 Julai lepas menubuhkan syarikat tujuan khusus (SPV) iaitu Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PICSB) bagi menguruskan projek PTMP dan PSR serta penerbitan bon atau SUKUK.

 

“Kerajaan Negeri juga pernah memohon peruntukan untuk pembinaan Bayan Lepas LRT melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) kepada pihak Kementerian Pengangkutan (MOT) pada 27 Februari 2020.

 

“Namun, pihak MOT melalui surat bertarikh 17 Jun 2020 telah menolak permohonan tersebut dan Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif semula dengan mengemukakan rayuan bagi permohonan tersebut pada 20 Julai 2020 yang juga masih menunggu maklum balas daripada pihak MOT,” jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong berkaitan.

 

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya turut memohon Putrajaya supaya menyalurkan semula peruntukan RM100 juta untuk pembinaan projek kereta kabel Bukit Bendera yang telahpun diluluskan sebelum ini.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!