Latest News
PTMP Map
PSI
 

Belum hantar kertas kerja

Belum hantar kertas kerja

Published by Harian Metro • 06/02/2017 • 07:02 am

BOT nelayan ditambat di pesisir Pantai Tanjung Tokong.

Georgetown: Kertas kerja bagi cadangan menambak laut untuk membentuk dua pulau buatan di selatan perairan negeri ini belum dihantar kepada kerajaan Persekutuan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow berkata, walaupun kertas kerja cadangan bagi projek tambakan laut itu sudah siap, kerajaan negeri belum lagi menghantarnya kepada kerajaan Persekutuan.

 

“Khabar angin yang mengatakan projek tambakan laut ini perlu dihentikan selepas mendapat arahan daripada kementerian adalah satu dakwaan yang tidak benar.

 

“Mana-mana projek dijalankan di negeri ini mempunyai kesan dan ia termasuk projek tambakan laut terbabit sekiranya dijalankan.

 

“Semua projek yang dijalankan mempunyai kesan baik dan buruk termasuk projek tambakan laut ini. Kerajaan negeri maklum berkenaan kesan yang bakal wujud sekiranya projek ini dijalankan,” katanya.

 

Terdahulu, cadangan projek tambakan laut bagi membentuk pulau buatan itu bertujuan bagi mencari dana menampung projek Pelan Induk Pengangkutan (PIP) yang kini meningkat kepada RM46 bilion berbanding kos asal RM27 bilion.

 

Antara kawasan terbabit dengan projek tambakan laut ini termasuk Gertak Sanggul, Teluk Kumbar dan Teluk Tempoyak.

 

Sehubungan itu, Chow berkata, aktiviti tambakan laut yang dirancang kerajaan negeri akan diteruskan mengikut fasa ditetapkan kerana cadangan melaksanakan pembangunan di kawasan Seberang Perai tidak mampu menampung kos pelaksanaan PIP berikutan nilai tanah yang lebih murah berbanding di bahagian pulau.

 

“Tanah milik kerajaan negeri tidak mencukupi dan nilai tanah di Seberang Perai tidak seberapa tinggi jika dibandingkan di bahagian pulau,” katanya.

 

Disiarkan pada: Februari 6, 2017 @ 7:02am

© 2021 Harian Metro, New Straits Times Press (M) Bhd.
A part of Media Prima Group.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!