Latest News
PTMP Map
PSI
 

435 nelayan sokong projek tambak laut Pulau Pinang

435 nelayan sokong projek tambak laut Pulau Pinang

Published by Utusan Malaysia • 07/10/2021 • 03:18 pm

NELAYAN dari Unit Permatang Tepi Laut, Fajinah Jaafar menyerahkan nama dan tandatangan nelayan serta penduduk yang menyokong projek PSR kepada Chow Kon Yeow di Georgetown, Pulau Pinang hari ini.

GEORGETOWN: Seramai 435 nelayan merupakan sebahagian daripada 1,521 penduduk dari kawasan selatan Pulau Pinang yang menyerahkan nama serta tandatangan mereka kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi menyokong projek tambakan laut di kawasan tersebut (PSR).

 

Sokongan itu dinyatakan secara terbuka kepada kerajaan negeri hari ini menerusi penyerahan nama dan tandatangan tersebut oleh nelayan Unit Permatang Tepi Laut, Fajinah Jaafar kepada kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di sini.

 

Menurut Fajinah, dia mengambil inisiatif mengumpul tandatangan penduduk dan nelayan yang menyokong projek tambak laut bagi membentuk tiga pulau buatan itu sebaik sahaja mahkamah membatalkan kelulusan laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) projek berkenaan bulan lalu.

 

Menurutnya, pembatalan kelulusan tersebut bermakna manfaat-manfaat untuk nelayan di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) tidak dapat disampaikan kepada nelayan dalam masa terdekat.

 

Sementara itu, Penolong Setiausaha Lestari, Mohd. Nasarudin Sultan yang turut menyokong inisiatif digerakkan Fajinah itu berkata, tandatangan yang berjaya dikumpulkan tersebut membuktikan ramai penduduk setempat di kawasan berhampiran PSR mengalu-alukan pelaksanaan projek tersebut.

 

Ini kerana tambahnya, kumpulan penduduk berkenaan menyedari PSR akan menjana ekonomi dan mewujudkan peluang perniagaan serta pekerjaan.

 

“Harus ditegaskan di sini sokongan daripada 1,521 orang ini adalah secara ikhlas dan rela hati. Mereka tidak dipaksa atau dijanjikan apa-apa ganjaran.

 

“Mereka memahami bahawa pelaksanaan projek sebesar PSR ini akan mendatangkan banyak kebaikan dari segi penjanaan ekonomi, terutamanya dalam keadaan kegawatan ekonomi akibat penularan Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambah Mohd. Nasarudin, aktiviti penambakan dan pembinaan akan mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada pengusaha kecil-kecilan di kawasan berhampiran tapak projek.

 

Sehubungan itu, beliau berharap kempen tandatangan tersebut membuka mata mereka yang bertanggapan semua nelayan dan penduduk tempatan membantah PSR yang mana mereka telah diberi gambaran yang tidak tepat selama ini. – UTUSAN

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!