29 Dis Program pengimbangan ekologi mampu kurangkan kesan penambakan PSR
Diterbitkan oleh Bernama • 15/12/2021 • 05:37 pm
NIBONG TEBAL, 15 Dis — Kerajaan Pulau Pinang memberi jaminan bahawa penanaman pokok bakau menerusi program pengimbangan (offset) ekologi mampu mengurangkan impak negatif penambakan Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR).
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC) Datuk Seri Farizan Darus berkata program offset ekologi seperti penanaman pokok bakau akan menyokong peranan langkah kawalan alam sekitar dengan mewujudkan habitat baharu untuk hidupan laut dan menggalakkan kepelbagaian biologi.
“Inisiatif yang turut melibatkan kerjasama dengan SRS Consortium dan Jabatan Perhutanan Pulau Pinang boleh dilihat sebagai satu langkah untuk memulihara ekosistem laut yang dapat memberi impak yang positif kepada sektor perikanan
“Malah, selain hutan bakau bakal menjadi habitat dan tempat pembiakan untuk ikan, ketam, udang, kerang dan spesies laut lain, ia turut akan memanfaatkan komuniti nelayan dan juga berperanan sebagai pertahanan pantai semula jadi yang melindungi pesisiran pantai daripada hakisan dan ombak besar seperti tsunami,” katanya kepada pemberita selepas Program Penanaman Bakau bersama Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama PIC bersama Persatuan Kebajikan Nelayan-Nelayan Pantai Pulau Pinang (PIFWA), di sini hari ini.
Farizan berkata lokasi pertama yang dicadangkan untuk penanaman bakau adalah Teluk Tempoyak dekat Batu Maung berhampiran tapak projek PSR, manakala lokasi cadangan seterusnya adalah seperti Pulau Betong, Sungai Acheh, Juru dan Penaga dan dijangka akan bermula di bawah pembangunan PSR mulai tahun depan.
“Kesemua inisiatif ini adalah tertera dalam Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang akan dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar, bermaksud kesemua inisiatif tersebut wajib dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan pihak SRS Consortium,” katanya.
Farizan berkata pihaknya menyasarkan penanaman sebanyak 22,300 pokok spesies yang bersesuaian hutan pantai di Pulau A seluas lebih kurang 8.09 hektar yang berpotensi menjadi zon rekreasi dan destinasi ekopelancongan untuk orang ramai.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang Muhammad Ezhar Yusof berkata sejak pelancaran Penang 2030 pada tahun 2018, Jabatan Perhutanan Negeri telah menanam 31,037 pokok iaitu pada 2019 sehingga November 2021.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 8,885 pokok melibatkan pokok bakau yang telah ditanam di beberapa lokasi. Selebihnya 22,152 pokok melibatkan pokok spesies hutan darat yang ditanam sekitar hutan simpanan kekal dan tanah milikan lain hasil kerjasama yang dijalankan,” katanya.
PIC adalah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjadi rakan strategik GLC Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang dalam membantu menggiatkan aktiviti penanaman pokok khususnya bagi kawasan hutan paya laut di Negeri Pulau Pinang.
PIFWA merupakan rakan strategik NGO Jabatan Perhutanan Negeri dalam membantu pemuliharaan Hutan Paya Laut khususnya di daerah Seberang Perai Selatan.
— BERNAMA
Sorry, the comment form is closed at this time.