24 Nov Maklum Balas kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II YB Dato Haji Che Abdullah Mat Nawi berhubung pelaksanaan Penang South Islands (PSI)
Siaran Media
23 Jun 2021
Maklum Balas kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II YB Dato Haji Che Abdullah Mat Nawi berhubung pelaksanaan Penang South Islands (PSI)
Pihak Penang Infrastructure Corporation (PIC) ingin memberi penjelasan berhubung dengan isu-isu yang dibangkitkan oleh YB Dato Haji Che Abdullah pada Rabu lalu (16 Jun) mengenai pelaksanaan PSI dan sektor perikanan.
Pihak kami merujuk kepada maklumat daripada Jabatan Perikanan (DOF) dan data dalam Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan Laporan Penilaian Impak Perikanan (FIA) bagi projek PSI.
Isu-isu yang dibangkitkan oleh YB Dato Haji Che Abdullah | Penjelasan berdasarkan maklumat daripada DOF dan laporan-laporan EIA serta FIA | |
---|---|---|
1 | Seramai 4,211 nelayan Zon A di Pulau Pinang akan terkesan akibat pelaksanaan PSI | Pada awalnya, jumlah nelayan yang disenaraikan oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) pada 26 Mac 2021 adalah 858. Kemudiannya, pada 13 April 2021, DOF memberikan senarai nelayan baru berjumlah 955. Jumlahnya jauh beza daripada 4,211.
Berdasarkan laporan EIA, nelayan yang terkesan adalah nelayan pantai dari unit nelayan Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar, Gertak Sanggul (Tahap 1, lebih dekat dengan PSR), Seri Jerjak, Teluk Tempoyak, Batu Maung, Pulau Betong dan Kuala Sungai Burung (Tahap 2, jauh sedikit dari PSR).
Senarai 955 nelayan yang disediakan oleh DOF adalah jumlah nelayan dari kawasan Tahap 1 dan 2. |
2 | Pelaksanaan PSI mengancam 87 spesies ikan | Mengikut laporan EIA dan FIA, semua spesies ikan di kawasan tapak PSI, termasuk yang disebut oleh YB Timbalan Menteri, adalah jenis yang biasa ditemui dalam perairan pesisir pantai Malaysia. Kawasan PSI juga bukan tempat pembiakan untuk bawal putih, bawal tambak dan udang.
Ikan bawal adalah ikan pelagik yang hidup dan membiak dalam air yang lebih dalam. Kawasan nurseri untuk udang pula adalah muara sungai (estuari) dan hutan bakau (untuk makluman, tiada hutan bakau di kawasan PSI). |
3 | Unit nelayan Batu Maung, Teluk Tempoyak, Gertak Sanggul, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Permatang Damar Laut mendaratkan ikan sebanyak 13,418.11 tan setahun (24.5% daripada jumlah pendaratan ikan Pulau Pinang) | Berdasarkan maklumat DOF, lebih 90% daripada pendaratan ikan 13,418.11 tan datang daripada hasil tangkapan bot pukat tunda Zon B dan C dari unit Batu Maung. Kawasan penangkapan ikan bagi nelayan pesisir pantai adalah di Zon A, dalam lingkungan 8 NM (14.8 km) dari pesisir pantai. (Lampiran A)
Dengan bot yang lebih besar, nelayan Zon B boleh menangkap ikan sejauh 15 batu nautika (NM) dari pesisir pantai manakala nelayan Zon C boleh pergi lebih jauh daripada itu. Maka, hasil tangkapan harian mereka adalah lebih tinggi daripada hasil tangkapan nelayan pesisir pantai (Zon A).
Nelayan pesisir pantai (Zon A) dari unit-unit lain hanya menyumbangkan 10% (1,317 tonnes) kepada jumlah pendaratan 13,418.11 tan. Jumlah ini juga hanya 1.5% daripada jumlah pengeluaran ikan Pulau Pinang, iaitu 83,881 tan (tangkapan ikan dan akuakultur). Sumbangan nelayan Zon A dari kawasan ini juga hanya 0.1% daripada jumlah pengeluaran ikan negara sebanyak 1,844,327 tan (tangkapan ikan sebanyak 1,452,862 tan dan akuakultur sebanyak 391,465 tan). |
4 | Nelayan akan kehilangan mata pencarian | Nelayan masih boleh ke laut dan meneruskan aktiviti penangkapan ikan semasa dan selepas fasa penambakan. Salah satu keutamaan dalam pembangunan PSI adalah menambahbaik sumber pendapatan nelayan. Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) akan menawarkan bantuan kewangan dalam bentuk pemberian sagu hati, bot dan enjin baru, jeti nelayan baru, kemudahan perikanan komersial, peluang pekerjaan dan perniagaan, skim latihan, tuisyen percuma dan biasiswa bagi anak-anak nelayan. Peruntukan Kerajaan Negeri untuk SIMP dianggarkan berjumlah RM100 juta, satu-satunya projek di Malaysia setakat ini memperuntukkan jumlah yang begitu besar untuk pemerkasaan masyarakat tempatan.
PSI juga akan melaksanakan pelabuhan tukun tiruan dan unjam; pelepasan benih ikan dan udang; penanaman pokok bakau; menyediakan dana untuk penyelidikan marin serta inisiatif lain yang akan menyumbang kepada penambahbaikan sektor perikanan dan persekitaran. Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited membantu nelayan yang ingin terus menangkap ikan dengan pelbagai bantuan yang disediakan dalam program pemerkasaan SIMP dan perikanan. |
5 | Kajian impak bunyi dan migrasi udang | TKajian impak bunyi akibat pelaksanaan projek hanya boleh dijalankan semasa kerja penambakan berlangsung. Pihak konsultan telah menjalankan pemantauan “baseline” bunyi bagi mengumpul data untuk dibandingkan dengan bunyi yang dihasilkan semasa kerja penambakan dan pengorekan dijalankan.
Untuk kajian migrasi udang, Kerajaan Negeri sedang dalam proses melantik konsultan yang sesuai untuk menjalankan kajian tersebut. Kajian yang melibatkan tempoh pemantauan yang panjang ini boleh dijalankan serentak dengan pelaksanaan projek. |
6 | Kemusnahan kawasan pantai berlumpur (mudflats) | Zon intertidal (mudflats) yang akan terkesan akibat pelaksanaan PSI hanya merangkumi 4% daripada kawasan keseluruhan di Pulau Pinang. Terdapat banyak lagi zon intertidal yang menjadi habitat organisma kecil di sepanjang pesisir pantai barat dan timur Pulau Pinang serta Seberang Perai. (Lampiran B)
Seperti yang telah diterangkan di atas, kawasan pantai berlumpur berhampiran tapak PSI juga bukan tempat pembiakan bagi udang dan ikan bawal. |
7 | Kehilangan separa kawasan penangkapan ikan | Kawasan penangkapan ikan bagi nelayan pesisir pantai Zon A adalah dalam lingkungan 8 NM (14.8 km) dari pesisir pantai. Maka, kawasan penangkapan ikan yang sedia ada adalah jauh lebih luas daripada tapak PSI.
Lokasi penangkapan ikan yang popular dalam kalangan nelayan pesisir pantai adalah termasuk kawasan Pulau Kendi yang jauh dari tapak PSI. |
8 | Kehilangan separa terumbu karang di Pulau Rimau | Berdasarkan laporan EIA, liputan terumbu karang di Pulau Rimau hanya <5% dan dilaporkan sebagai “tidak memuaskan” dan kurang mempunyai nilai pemuliharaan jika berbanding dengan liputan terumbu karang di Pulau Kendi yang <30% dan menunjukkan kesihatan sederhana memuaskan. |
9 | Kehilangan tempat pendaratan penyu sepenuhnya | Kawasan pesisir pantai selatan Pulau Pinang bukan tempat pendaratan penyu yang popular. Bagi tempoh masa 14 tahun (2001 – 2014), kawasan pantai yang berhampiran dengan tapak PSI di Gertak Sanggul, Pantai Belanda, Pantai Medan, Teluk Kumbar dan Teluk Tempoyak hanya mencatatkan sembilan pendaratan penyu. Manakala kawasan pesisir pantai utara Pulau Pinang mencatatkan 721 pendaratan penyu dalam tempoh yang sama. Kawasan yang mencatatkan pendaratan penyu yang paling banyak adalah Pantai Kerachut (464) dan Teluk Kampi (208). |
10 | Kehilangan separa kawasan pemakanan mamalia marin seperti ikan lumba-lumba | Makanan utama ikan lumba-lumba adalah ikan yang biasanya berada dalam kawasan laut yang lebih dalam, bukan di perairan cetek seperti kawasan tapak PSI. |
Pihak PIC menegaskan bahawa PSI merupakan projek jangka masa Panjang yang memanfaatkan Pulau Pinang secara keseluruhan melalui pendekatannya yang inklusif bermula dari peringkat perancangan. PSI bukan sebuah pembangunan yang hanya akan memanfaatkan satu kelompok atau bertujuan untuk meminggirkan mana-mana pihak yang tertentu.
Semua rakyat akan mendapat manfaat daripada PSI, termasuk komuniti nelayan. Kepentingan komuniti nelayan telah didahulukan dalam pembangunan PSI. Mereka adalah kumpulan yang akan mendapat manfaat lebih awal daripada orang lain melalui SIMP yang diwujudkan khas untuk mereka.
Pulau Pinang adalah sebuah negeri perindustrian yang bergantung kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan. Majoriti rakyat Pulau Pinang bekerja dalam dua sektor ini. Maka, adalah mustahak bagi Pulau Pinang terus berdaya saing dan menarik pelabur untuk mengembangkan ekonomi dan menjamin masa depan kita untuk dekad-dekad yang akan datang.
Kami berharap YB Timbalan Menteri dan orang ramai tidak akan terkeliru dengan maklumat yang tidak tepat mengenai PSI yang merupakan projek yang penting bagi ekonomi dan masa depan Pulau Pinang.
Penang Infrastructure Corporation
23 Jun 2021
Lampiran A: Hasil tangkapan nelayan pantai (iaitu kategori nelayan Zon A) yang terdekat dengan tapak PSI menyumbang kurang daripada 10% kepada jumlah keseluruhan hasil tangkapan di selatan pengairan Pulau Pinang. (Sumber: Jabatan Perikanan Malaysia)
Zon intertidal (mudflats) yang akan terkesan akibat pelaksanaan PSI hanya merangkumi 4% daripada kawasan keseluruhan di Pulau Pinang.
Sorry, the comment form is closed at this time.