
16 Jul Kesuma muktamad kerjasama strategik bersama Penang Chip Design Academy
Diterbitkan oleh SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI • 19/06/2025

Steven Sim (tengah) menyerahkan sijil penyertaan kepada peserta yang menyertai NTW 2025 pada Khamis.
BAYAN LEPAS – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) kini dalam peringkat perbincangan bagi memuktamadkan kerjasama strategik bersama Penang Chip Design Academy, sebuah inisiatif di bawah Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang memfokus kepada pembangunan sektor semikonduktor dan teknologi tinggi.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kerjasama strategik itu bertujuan menambah nilai kepada inisiatif sedia ada, selain memperkasa latihan kemahiran untuk anak muda dan tenaga kerja tempatan dalam sektor berteknologi tinggi.
“Penang Chip Design Academy memang ditubuhkan untuk melatih modal insan dalam sektor berteknologi tinggi, khususnya semikonduktor.
“Apa yang Kesuma ingin bawa adalah nilai tambah melalui kerjasama ini. Tujuan utama kerjasama ini adalah untuk melahirkan lebih ramai jurutera,” katanya selepas merasmikan Jelajah Pembelajaran Minggu Latihan Nasional (National Training Week, NTW) 2025 di sini pada Khamis.
Penang Chip Design Academy sebelum ini telah diumumkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, pada Mei tahun lalu dan dijangka menjadi pemacu utama dalam pembangunan modal insan berkemahiran tinggi di utara tanah air.
Tambah Steven Sim, kementeriannya berhasrat untuk melihat bagaimana sinergi antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dapat memperhebat pelaksanaan program latihan kemahiran yang selaras dengan keperluan industri di negeri ini.
“Inisiatif ini penting untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang strategik bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
“Ini kerana kita tidak mahu anak-anak muda negeri ini hanya mendapat pekerjaan biasa dengan gaji yang kecil,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut memaklumkan mengenai kerjasama strategik antara HRD Corp dan Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA) di bawah Advanced Technology Meister Programme (ATMP).
Katanya, menerusi inisiatif tersebut, Kesuma memperkenalkan Program Dana Padanan bagi pembangunan kemahiran yang akan membantu industri tempatan meningkatkan tahap kemahiran tenaga kerja dalam bidang teknologi termaju.
“Majikan boleh membangunkan latihan bersama institusi pembelajaran pilihan mereka, dengan sokongan pembiayaan daripada HRD Corp melalui levi dan NCIA di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Usaha ini mencerminkan komitmen kita untuk membina tenaga kerja berkemahiran tinggi serta mencapai sasaran 30 peratus tenaga kerja mahir menjelang tahun 2030,” katanya.
Selain itu, Steven Sim turut mengumumkan kelulusan pelaksanaan Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran untuk keluarga nelayan dan komuniti setempat di Pulau Pinang Selatan, di bawah Focused Impact Training Initiative (FITI).
“Menerusi program ini, seramai 420 peserta daripada komuniti tersebut akan menerima latihan dalam pelbagai bidang termasuk kursus jurumudi, penyelia keselamatan tapak, aplikasi komputer dan pegawai keselamatan.
“Objektif program ini adalah untuk memastikan keluarga nelayan tidak terpinggir daripada peluang kemajuan ekonomi hasil pembangunan projek Silicon Island.
“Melalui program ini, kita ingin membantu komuniti nelayan memperoleh pekerjaan berimpak tinggi, meningkatkan pendapatan dan seterusnya memperkukuh taraf sosioekonomi keluarga mereka,” katanya.
No Comments