Latest News
PTMP Map
PSI
 

Skim SIMP: Lebih RM10 juta ex-gratia sudah dibayar kepada nelayan

Skim SIMP: Lebih RM10 juta ex-gratia sudah dibayar kepada nelayan

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang menyalurkan lebih RM10 juta bayaran ex-gratia kepada nelayan berdaftar di bawah skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) projek Pulau Silikon, sehingga kini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PICSB), Datuk Seri Farizan Darus, berkata 687 daripada 877 nelayan berdaftar sudah menerima bayaran penuh ex-gratia, manakala 53 lagi menerima 75 peratus bayaran mengikut kelayakan tahap dan kategori masing-masing.

 

“Proses pembayaran masih diteruskan untuk baki nelayan dan dokumen sokongan masih dikemas kini,” katanya melalui kenyataan hari ini.

 

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sejumlah 98 tekong termasuk 77 dari unit Permatang Tepi Laut yang berdaftar dengan SIMP sudah menerima bantuan bot dan enjin baharu yang disampaikan dalam majlis di Dewan Unit Nelayan Permatang Tepi Laut awal bulan ini.

 

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan menguruskan penyerahan bantuan bot dan enjin baharu untuk 194 tekong aktif dari unit Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul, walaupun pelaksanaan projek Penang South Islands (PSI) hanya membabitkan sebuah pulau iaitu Pulau Silikon, berbanding tiga pulau sebelum ini.

 

Farizan berkata, bot baharu berukuran 27 kaki panjang dan 7.4 kaki lebar itu dilengkapi enjin berkapasiti lebih besar iaitu 90 atau 100 kuasa kuda mengikut jenama pilihan tekong masing-masing.

 

“Setiap tekong Tahap 1 yang berkelayakan juga akan menerima kelengkapan seperti robot, sonar, GPS (sistem pengesanan global) dan pukat untuk membantu mereka pergi lebih jauh untuk mendapat hasil tangkapan lebih lumayan,” katanya.

 

Beliau berkata, seiring bantuan ex-gratia skim SIMP, tekong Permatang Tepi Laut yang menambat bot di kawasan Sungai Bayan Lepas turut menerima bangsal baharu.

 

Farizan berkata dua bangsal contoh telah siap dibina dan diserahkan kepada nelayan Oktober tahun lalu, manakala baki 61 unit bangsal akan dibina secara berfasa dengan fasa pertama bagi 12 bangsal dimulakan dan dijangka siap Ogos tahun depan.

 

Sementara itu, Ketua Unit Nelayan Permatang Tepi Laut Mohd Kassim Mohamed berpuas hati dengan semua bantuan dihulurkan kepada nelayan di bawah skim SIMP.

 

“Terima kasih kepada kerajaan negeri dan semua pihak terbabit dalam memberikan kerjasama untuk proses pembekalan bot dan enjin serta kelengkapan kepada nelayan yang layak. Sebagai ketua unit, kebajikan nelayan harus diutamakan,” katanya.

 

Pulau Silikon seluas 2,300 ekar (930.78 hektar) adalah projek penambakan milik kerajaan Pulau Pinang bermatlamat menjamin pertumbuhan ekonomi jangka panjang negeri itu.

No Comments

Post A Comment