Latest News
PTMP Map
PSI
 

Projek Pulau Silikon perlu untuk tampung keperluan industri negeri 40 tahun akan datang

Projek Pulau Silikon perlu untuk tampung keperluan industri negeri 40 tahun akan datang

Gambaran artis Projek Tambakan Laut Selatan Pulau (A) Pulau Pinang (PSI). – Foto PSI

 

GEORGETOWN: Pulau Pinang masih memerlukan projek tambakan Pulau A yang kini dikenali Pulau Silikon meskipun Kerajaan Persekutuan bersetuju membiayai sepenuhnya pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri itu.

 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari, berkata rasional meneruskan pembangunan pulau itu untuk menangani kekurangan tanah terutama bagi memenuhi keperluan industri dalam tempoh 40 tahun akan datang.

 

Menjawab soalan lisan A Kumaresan (PKR-Batu Uban) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Zairil berkata pembangunan taman perindustrian berteknologi tinggi dikenali Green Tech Park di Pulau Silikon akan memperluaskan Zon Perindustrian Bebas (FIZ) Bayan Lepas bagi memenuhi keperluan pelabur sedia ada yang ingin mengembangkan operasi mereka selain menarik pelabur baharu.

 

Ini termasuk aktiviti industri bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu, penyelidikan, reka bentuk dan pembangunan, pembuatan berteknologi tinggi, pemasangan serta pengujian, pembungkusan maju, peranti perubatan, kecerdasan buatan, dan perkhidmatan perniagaan global.

 

“Boleh dikatakan Green Tech Park akan menjadi pembangunan utama di Pulau Silikon dan berperanan penting sebagai pemangkin ekonomi, penjana hasil serta pencipta peluang pekerjaan bagi Pulau Pinang untuk jangka masa panjang.

 

“Projek itu juga akan meningkatkan daya saing Pulau Pinang sebagai pengeluar produk Elektrik dan Elektronik (E&E) penting di dunia dan memperkukuh reputasi Pulau Pinang sebagai Lembah Silikon di Timur,” jelasnya.

 

Beliau berkata, melalui Pulau Silikon, Pulau Pinang dijangka menjana impak Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM1.1 trilion sekali gus menarik jumlah pelaburan RM74.7 bilion dan menghasilkan 220,000 peluang pekerjaan.

 

Zairil turut menjelaskan, tanah Pulau Silikon seluas 930.78 hektar adalah 100 peratus milik penuh Kerajaan Pulau Pinang dengan negeri berhak menentukan kegunaan tanah di pulau yang sedang ditambak, selaku pemilik projek.

 

Menjawab soalan tambahan Goh Choon Aik (PKR-Bukit Tambun), Zairil memaklumkan lebihan kewangan daripada projek mewujudkan Pulau Silikon kelak akan dipulangkan kepada kerajaan negeri termasuk untuk tujuan pembangunan infrastruktur di bahagian Seberang Perai.

 

Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan pembatalan bagi Pulau B dan Pulau C dalam Projek PSI seperti mana diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Mei tahun lalu.

 

Selain itu, keluasan Pulau A yang dinamakan sebagai Pulau Silikon turut dikecilkan daripada 1,821 hektar kepada 930.8 hektar dengan pengurangan keluasan itu membabitkan 49 peratus daripada keseluruhan tiga pulau kepada sebuah pulau sahaja.

No Comments

Post A Comment