Latest News
PTMP Map
PSI
 

Projek LRT Pulau Pinang serlahkan hala tuju sektor perkhidmatan pengangkutan awam negeri

Projek LRT Pulau Pinang serlahkan hala tuju sektor perkhidmatan pengangkutan awam negeri

PROJEK infrastruktur berskala mega, projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang bakal menjadi kenyataan susulan perkembangan terbaharu berhubung projek berkenaan.

 

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, ZAIRIL KHIR JOHARI berkata, projek LRT Pulau Pinang merupakan antara projek infrastruktur dan kemudahan awam yang telah lama dinanti-nantikan oleh rakyat Pulau Pinang.

 

“Memandangkan kesesakan lalu lintas di negeri ini semakin meruncing dan mendesak, keprihatinan Kerajaan Persekutuan termasuk Kementerian Pengangkutan Malaysia amatlah dihargai.

 

Apatah lagi, Kerajaan Persekutuan akan membiayai projek yang jajarannya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) ke Penang Sentral melalui Komtar.

 

“Ini secara tidak langsung menunjukkan semangat perpaduan dalam menerapkan jalinan berteraskan prinsip Malaysia Madani serta menyerlahkan hala tuju sektor perkhidmatan pengangkutan awam di negeri ini,” ujarnya ketika dihubungi semalam.

ZAIRIL Khir Johari

Menurut Zairil, pembiayaan projek ini merupakan peruntukan paling besar yang diterima oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi sektor pengangkutan awam sejak Kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih tampuk kepimpinan di Pulau Pinang.

 

Jajaran Fasa 1 yang akan beroperasi sehingga ke Seberang Perai adalah keputusan wajar memandangkan Penang Sentral merupakan hab pengangkutan pelbagai mod yang memberikan perkhidmatan pengangkutan awam utama di Pulau Pinang.

 

“Di Penang Sentral terdapat rangkaian pengangkutan dari Utara sehingga ke Selatan (Perak) melalui komuter dan ada juga tren laju (ETS) atau melalui pangkalan feri ke atau dari bahagian Pulau,” katanya.

 

Menjawab pertanyaan berhubung harapan beliau bagi pelaksanaan projek tersebut, Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga memaklumkan bahawa beliau mahu melihat sistem pengangkutan awam yang ditambah baik sekali gus mengatasi masalah kesesakan di negeri ini.

 

“Selain itu, saya juga harap projek ini akan memastikan kelestarian pembangunan sosio-ekonomi rakyat di negeri ini.

 

Hanya dengan sistem pengangkutan awam yang mantap, sektor ekonomi akan terus berkembang yang akhirnya dapat memikat para pelabur dan mewujudkan peluang pekerjaan  baharu seterusnya memberi impak positif terhadap pembangunan negeri secara amnya.

 

“(Dan) bagi membolehkan Pulau Pinang terus kekal sebagai sebuah negeri yang mendahului negeri- negeri lain selaku peyumbang tertinggi ekonomi negara khasnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), pelancongan dan pelancongan perubatan, maka penting untuk kita memperoleh peruntukan membangunkan infrastruktur terutama bagi sektor perkhidmatan pengangkutan,”jelasnya.

 

Dalam pada itu, Zairil berkata, pelaksanaan projek LRT Pulau Pinang ini juga merupakan inisiatif Green Transportation yang dilihat selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang sentiasa menyokong Sustainable Development Growth (SDG) di negeri ini.

 

Bagi Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) Pulau Pinang, sekiranya berjaya direalisasikan, maka projek LRT Pulau Pinang berkenaan bakal memberi manfaat yang besar untuk sektor pelaburan domestik dan asing.

 

Bercakap kepada Buletin Mutiara, Pengarahnya, MUHAMMAD GHADDAFFI SARDAR MOHAMED berkata, apabila siap kelak, projek ini akan memainkan peranan dalam meningkatkan landskap ekonomi bukan sahaja untuk Pulau Pinang malah rantau ini.

 

Projek ini akan merangsang aktiviti ekonomi di sepanjang jajaran LRT yang bakal menyediakan persekitaran yang kondusif untuk perniagaan tempatan berkembang.

 

“Ini termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang beroperasi berhampiran stesen LRT yang mana dilihat akan membawa kepada pertumbuhan perniagaan dan keuntungan susulan peningkatan pengguna termasuk pejalan kaki.

 

“Keduanya, selain mencipta peluang perniagaan kepada peniaga tempatan, ia juga menjana peluang pekerjaan terutama perniagaan yang terlibat dalam Sistem Bangunan Berindustri (IBS), penyelenggaraan dan juga operasi seterusnya mengukuhkan lagi ekonomi tempatan dan menambah baik sosioekonomi rakyat secara keseluruhan.

 

“Ketiganya, projek ini berkemungkinan memangkin pembangunan infrastruktur di kawasan sekitarnya yang mana perniagaan tempatan, pembekal dan penyelia perkhidmatan akan mempunyai peluang untuk mengambil bahagian dalam projek ini.

 

“Hal ini dilihat mampu memupuk pertumbuhan dalam rantaian bekalan tempatan dan industri berkaitan.

 

“(Dan) yang keempat adalah pemindahan teknologi dan kepakaran pihak berkepentingan antarabangsa kepada syarikat tempatan yang mana akan memupuk inovasi dan meningkatkan keupayaan bakat tempatan,” jelasnya yang yakin bahawa kerjasama dan perkongsian strategik ini akan menyumbang pembangunan perniagaan untuk jangka panjang.

MUHAMMAD Ghaddaffi Sardar Mohamed

Bercakap mengenai kemasukan pelaburan asing, Muhammad Ghaddaffi memaklumkan bahawa pelabur asing sering mengutama wilayah yang mempunyai infrastruktur dan jaringan kemudahan yang sangat baik.

 

“Pengenalan sistem LRT di negeri ini akan meningkatkan ketersambungan, menjadikan wilayah ini lebih mudah diakses untuk aktiviti perniagaan dan ini akan menarik kemasukan syarikat asing yang ingin bertapak di rantau ini.”

 

“Pembangunan sistem ini juga menyumbang kepada wujudnya persekitaran perniagaan yang kompetitif atau berdaya saing. Pelabur asing mungkin mendapati rantau ini lebih menarik kerana pilihan pengangkutan yang dipertingkatkan menjadikan pengurusan logistik lebih efisien.

 

“Infrastruktur yang ditambah baik juga akan merancakkan ekonomi sekali gus meningkatkan daya tarikan pelaburan langsung asing (FDI) daripada syarikat multinasional yang mencari peluang di Asia Tenggara,” ujarnya ketika dihubungi Buletin Mutiara.

 

Memandangkan projek LRT Pulau Pinang mampu merangsang aktiviti ekonomi, tambah Muhammad Ghaddaffi lagi, pelabur asing bakal mendapat manfaat dari pasaran yang berkembang pesat.

 

“Pertumbuhan ekonomi yang dipacu melalui projek ini boleh mewujudkan persekitaran yang stabil dan menguntungkan bagi syarikat asing yang ingin melabur dan mengembangkan operasi mereka.

 

“Jadi, ya, projek LRT ini bakal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang secara menyeluruh,” katanya.

 

Nada sama turut dikongsi oleh Setiausaha Kehormat (Wilayah Utara) Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), CEFINNY TEH JIN PEI.

 

Menurut Jin Pei, sebagai sebuah perusahaan kecil dan sederhana, SAMENTA mendapati agak sukar untuk mencari bakat industri baru.

 

“Jika di Kuala Lumpur sistem pengangkutan awam bersepadu telah memudahkan pergerakan dari satu destinasi ke satu destinasi.

 

“Tetapi di Pulau Pinang, agak sukar kerana sistem pengangkutan awam sedia ada tidak merentasi kawasan perindustrian.

 

“Bagi bakat-bakat industri yang masih baru, agak sukar untuk mereka bergerak tanpa memiliki kenderaan sendiri, tambahan pula perkhidmatan e-hailing yang ditawarkan kini juga memakan belanja yang besar.

 

“(Maka) LRT Pulau Pinang akan memberi kemudahan dan variasi dalam sistem pengangkutan awam di negeri ini,” katanya.

CEFINNY Teh Jin Pei

Sementara itu, bagi Naib Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), DATUK KHOO BOO LIM melihat pelaksanaan projek infrastruktur dan kemudahan awam itu dapat meredakan aliran lalu lintas di negeri ini.

 

“Isu kesesakan lalu lintas terutama ketika waktu puncak atau cuti persekolahan telah menjadi sebati dan merupakan masalah yang perlu dihadapi (oleh pengguna jalan raya di negeri ini) setiap hari.

 

“Belum lagi sekiranya berlaku kemalangan atau kenderaan rosak termasuk di Jambatan Pulau Pinang, pasti banyak masa terbuang di atas jalan sahaja.

 

“Jadi pelaksanaan projek ini adalah tepat pada masanya dan membantu mengurangkan kesesakan di negeri ini yang dijangka akan bertambah parah dengan pertambahan kenderaan kini,” katanya.

KHOO Boo Lim

Namun, beliau berharap perancangan rapi amat diperlukan agar masalah kesesakan jalan raya yang semakin sinonim dengan Pulau Pinang dapat diatasi untuk jangka masa panjang.

 

“Bukan sahaja perancangan rapi untuk pelaksanaan projek itu tetapi juga sebelum dan semasa, misalnya, membuat lencongan aliran lalu lintas agar lebih lancar dan penyampaian maklumat yang tepat dan terkini kepada pengguna jalan raya.”

 

“Lagipun, rakyat Malaysia yang datang ke Pulau Pinang kebanyakan lebih suka memandu sendiri, lebih selesa.

 

“Begitu juga pelancong dari luar negara, pastinya mereka tidak mahu ‘tersangkut’ dalam kesesakan lalu lintas untuk ke tempat tumpuan seperti ke Batu Ferringhi dan sebagainya.

 

“Di Bangkok, walaupun keadaan lalu lintas di sana ‘padat’ dengan kenderaan tetapi sistem pengangkutan seperti Bangkok Mass Transit System (BTS) dapat mengurangkan kesesakan aliran trafik ,” jelasnya yang pasti bahawa projek LRT Pulau Pinang akan memberi impak positif terhadap sektor pelancongan negeri.

 

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memberitahu bahawa Kementerian Pengangkutan Malaysia diarahkan menyediakan memorandum Jemaah Menteri untuk dibentangkan dalam Kabinet bagi kelulusan pelaksanaan projek berkenaan.

 

Perkembangan terbaharu itu membawa petunjuk bahawa pelaksanaan Projek LRT Pulau Pinang bakal dimuktamadkan dalam masa terdekat ini. Media sebelum ini melaporkan bahawa Kerajaan Persekutuan akan menambah dana untuk melaksanakan projek tersebut yang dianggarkan bernilai RM10 bilion.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

No Comments

Post A Comment