29 Dis PSI: Penyerahan bantuan bot, enjin nelayan dijangka selesai tiga tahun lagi
Published by Utusan• 03/12/2023
BAYAN LEPAS: Penyerahan bantuan bot dan enjin kepada nelayan yang layak di kawasan projek Penang South Island (PSI) disasarkan selesai dalam tempoh tiga tahun lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation, Datuk Seri Farizan Darus berkata, mengikut perancangan, semua penyerahan bot dan enjin dijangka dapat diselesaikan pada suku keempat 2026.
“Memandangkan bilangan penerima yang terlibat adalah besar, penyerahan bot dan enjin serta peralatan yang berkaitan sedang dibuat secara berperingkat untuk memastikan proses perolehan dan pembinaan bot dapat dijalankan dengan lancar.
“Oleh kerana PSI dikecilkan kepada tambakan sebuah pulau iaitu Silicon Island, nelayan Tahap 1 dari Unit Permatang Tepi Laut akan diberi keutamaan penerimaan bantuan bot kerana unit mereka terletak paling berdekatan dengan tapak projek.
“Ini juga tertakluk kepada pendaftaran SIMP mereka,” katanya dalam majlis penyerahan bantuan bot dan enjin di unit nelayan Permatang Tepi Laut, di sini semalam.
Program itu dirasmikan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid. Majlis tersebut menyaksikan penyerahan replika kunci bot dan enjin kepada 38 nelayan unit Permatang Tepi Laut.
Bot yang ditawarkan di bawah skim SIMP itu berukuran 8.3 meter dan dilengkapi enjin berkuasa kuda 90/100HP serta peralatan seperti GPS, sonar dan sebagainya.
Di bawah skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP), seramai 318 nelayan di kawasan Tahap 1 iaitu nelayan dari unit Permatang Tepi Laut; Sungai Batu; Gertak Sanggul dan Teluk Kumbar yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan layak menerima bantuan bot dan enjin.
Menurut Farizan, pihaknya menyasarkan dapat menyerahkan 10 bot setiap bulan, namun bergantung kepada kelancaran proses perolehan, pembinaan bot dan pembekalan peralatan berkaitan yang juga mengambil masa.
“Koperasi Komuniti Pulau Pinang Selatan Bhd. sedang menguruskan proses perolehan dan pembekalan bot ini di bawah pantauan pemaju projek PSI, Silicon Island Development (SID),” katanya.
Farizan berkata, jumlah nelayan Permatang Tepi Laut yang layak menerima bot dan enjin baharu ialah 79 orang dan 59 nelayan yang selebihnya dijangka mendapat bot dan enjin baharu masing-masing secara berfasa mulai bulan depan hingga Jun tahun depan.
“Selepas itu, kerajaan negeri akan memulakan proses perolehan dan pembinaan bot untuk nelayan dari tiga unit lain di kawasan Tahap 1,” katanya. – UTUSAN
No Comments