06 Sep Pendaftaran SIMP masih terbuka kepada nelayan kawasan PSI
Published by Utusan• 03/9/2023
GEORGE TOWN: Nelayan Pulau Pinang Selatan yang masih belum membuat pendaftaran skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) di bawah projek tambak laut Pulau Pinang Selatan (PSI) digesa mendaftar dengan segera untuk membolehkan pemprosesan pembayaran bantuan kewangan (ex-gratia) dilaksanakan.
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC), Datuk Seri Farizan Darus berkata, nelayan dari sembilan unit nelayan di Pulau Pinang Selatan itu masih boleh membuat pendaftaran di Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN).
“Kami menyeru mereka mendaftar secepat mungkin kerana pembayaran ex-gratia sudah bermula sejak Jumaat lalu bagi mereka yang sudah mendaftar sejak awal lagi,” katanya di sini hari ini.
Pembayaran 75 peratus dari jumlah penuh ex-gratia telah bermula semalam susulan pengumuman Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bahawa Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) PSI telah diluluskan pada 21 Julai lalu.
Kebenaran merancang untuk kerja tambakan juga diluluskan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang pada 22 Ogos yang bermakna kerja penambakan PSI untuk membina Silicon Island dibenarkan bermula.
Menurut Farizan, sepatutnya tidak ada lagi halangan untuk nelayan membuat pendaftaran SIMP memandangkan penambakan sudah bermula.
”Pada masa ini, kerajaan negeri sedang menunaikan janji kepada nelayan. Maka, nelayan harus lebih yakin dan terdorong untuk mendaftar kerana mereka berhak untuk menikmati manfaat SIMP,” katanya.
Farizan menambah, seramai 358 tekong dan awak-awak yang telah membuat pendaftaran awal akan menerima 75 peratus jumlah ex-gratia yang telah dijanjikan mulai Jumaat lalu menerusi pemindahan dana elektronik.
”Kerajaan negeri telah mula membuat pembayaran melalui Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya sejak semalam kepada nelayan yang sudah disahkan status oleh Jabatan Perikanan.
”Daripada 358 nelayan ini, pembayaran akan diproses terlebih dahulu untuk kumpulan penerima pertama seramai 185 orang yang telah selesai mengemukakan dokumen sokongan kepada PPSN.
”Pembayaran adalah tertakluk kepada semakan dan pengesahan Jabatan Perikanan dan bank yang digunakan oleh nelayan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz yang turut hadir pada sesi taklimat Rabu lalu berkata, skim SIMP yang telah dilaksanakan secara berfasa sejak diumumkan pada 2021 itu cukup menyeluruh dan bersifat jangka masa panjang.
”Skim ini tidak hanya menyediakan bantuan kewangan atau ex-gratia tetapi juga menawarkan bantuan bot dan enjin, jeti baharu, program latihan kemahiran dan program sokongan pendidikan untuk anak nelayan yang masih bersekolah,” katanya. – UTUSAN
No Comments