Latest News
PTMP Map
PSI
 

Fasa pertama projek LRT Pulau Pinang bermula hujung tahun ini – Loke

Fasa pertama projek LRT Pulau Pinang bermula hujung tahun ini – Loke

Published by Astro Awani • 30/5/2023

GEORGE TOWN: Pelaksanaan fasa pertama projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang dijangka akan dimulakan penghujung tahun ini.

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembinaan LRT bagi fasa pertama itu merangkumi 27 stesen dengan jajaran laluan sepanjang 29 kilometer.

 

Beliau berkata berdasarkan perbincangan bersama dengan Kerajaan Negeri dan juga MRT Corp, satu persetujuan dicapai mengenai jajaran baharu LRT iaitu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas ke Tanjong Bungah berbanding jadual asal stesen terakhir di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

 

Beliau berkata projek fasa pertama itu kelak akan mengambil masa lima tahun untuk disiapkan.

 

“Cadangan kita projek ini akan mengambil beberapa fasa, fasa pertama sudah tentulah seperti yang dirancang sebelum ini iaitu dari LTAPP Bayan Lepas sampai ke Komtar tetapi kita lihat balik cadangan itu.

 

“Pihak MRT Corp kata adalah lebih sesuai laluan itu bermula daripada LTAPP, bukan berakhir di Komtar tetapi sambung ke Tanjung Bungah itu fasa pertama dari laluan 27 stesen dan 29 kilometer,” katanya.

 

Loke berkata demikian kepada media selepas meninjau kawasan Sia Boey iaitu antara lokasi cadangan bagi stesen LRT laluan Komtar pada Selasa.

 

Hadir sama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari.

 

Selain itu, mengenai lokasi depoh LRT, Loke berkata Kerajaan Negeri bersetuju untuk membina depoh LRT dalam kawasan sedia ada di bahagian Pulau bagi mempercepatkan proses pembinaan berbanding cadangan asal dibina atas kawasan tambak laut iaitu Projek Pulau Pinang Selatan (PSI).

 

Bagaimanapun katanya kos pembinaan LRT bagi fasa pertama ini masih belum dimuktamadkan memandangkan tapak pembinaan depoh utama tidak ditentukan lagi.

 

“Hari ini kita perlu ada beberapa persefahaman dari segi lokasi depoh, jajaran dan sistem yang akan digunakan dan kita telah bentangkan kepada Kerajaan Negeri.

 

“Kerajaan Negeri secara prinsip tidak ada bantahan maka boleh proceed namun perlu dimuktamadkan beberapa perkara baru boleh kita anggar berapa kos. Maka akan diangkat ke persetujuan Menteri Kewangan,” katanya lagi.

 

Pada 6 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kerajaan Persekutuan akan menambah dana kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk melaksanakan segera projek LRT di negeri itu.

 

Kerajaan negeri Pulau Pinang sebelum ini merancang untuk melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion melibatkan projek LRT, monorel dan tiga buah lebuh raya yang dijadualkan siap pada tahun 2050.

 

Bagi merealisasikan PTMP, kerajaan Pulau Pinang melaksanakan PSR yang kini dikenali sebagai Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI) melibatkan tambakan kira-kira 1,821 hektar tanah yang mana, ia sebagai perjanjian pertukaran tanah untuk membiayai cadangan PTMP bernilai RM46 bilion.

No Comments

Post A Comment