Latest News
PTMP Map
PSI
 

SIMP memanfaatkan nelayan, laporan EIA kelulusan PSI diteliti

SIMP memanfaatkan nelayan, laporan EIA kelulusan PSI diteliti

Buletin Mutiara • 12/1/2023

BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri terus komited membantu golongan nelayan selatan Pulau Pinang menerusi Skim Pengurusan Impak Sosial (SIMP) meskipun bantuan tersebut sepatutnya dilaksanakan selepas memperoleh kelulusan pelaksanaan projek Tambakan Selatan Pulau Pinang Pinang (PSI).

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa kelulusan yang perlu ditunggu adalah Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan Laporan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum memulakan kerja tambakan.

 

“Berikutan tempoh kelulusan EIA dan EMP yang mengambil masa terlalu lama, ia telah menyebabkan nelayan terpaksa menunggu bagi merasai manfaat SIMP.

 

“Oleh itu, Kerajaan Negeri bersetuju untuk melaksanakan SIMP secara berfasa agar para nelayan dapat menikmati beberapa manfaat daripadanya terlebih dahulu.

 

“Malah, Kerajaan Negeri juga bersetuju mempercepatkan bantuan kepada nelayan terkesan kerana selain daripada tanggungjawab, kita (Kerajaan Negeri) juga berusaha untuk memastikan golongan nelayan dapat ke laut dengan bot yang lebih besar, selamat serta memastikan tangkapan yang lebih lumayan berbanding bot kecil dengan kuasa kuda 2/4 enjin lebih rendah,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial dan Pelaksanaan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi di Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan Sungai Batu dekat sini pagi tadi.

 

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd. Zakuan Zakaria; Ketua Seksyen Pengangkutan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Lim Hock Seng; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PIC), Dato’ Seri Farizan Darus dan Pengarah Projek SRS Consortium Sdn. Bhd., Szeto Wai Loong.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa pada masa ini, kelulusan PSI masih tertakluk kepada keputusan JAS yang sedang meneliti laporan EIA yang dikemas kini baru-baru ini.

 

“Saya berharap JAS akan memberi maklum balas positif dalam masa terdekat dengan mengambil kira manfaat projek ini kepada rakyat, khususnya komuniti nelayan,” katanya.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa pada masa ini, Kerajaan Negeri dan SRS Consortium juga sedang berusaha melaksanakan projek penambahbaikan jeti sementara untuk Unit Nelayan Permatang Tepi Laut bagi memberi kemudahan yang lebih selamat dan selesa kepada golongan berkenaan.

 

“Pendekatan berkaitan akan membolehkan nelayan dari kawasan Permatang Tepi Laut mendapat stor nelayan berserta kemudahan jeti yang jauh lebih selesa berbanding sedia ada selain penubuhan Koperasi Komuniti Pulau Pinang Selatan Bhd. (KKPPSB).

 

“Umumnya, KKPPSB bakal menjadi pemain utama dalam pembekalan barangan dan perkhidmatan untuk menyokong pembangunan PSI dan yang berkaitan bagi menjana pendapatan serta memberi pulangan serta faedah kepada ahli-ahlinya yang terdiri daripada penduduk setempat,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

 

Difahamkan, melalui SIMP, Kerajaan Negeri telah mula memberi bot dan enjin baru, menjalankan kursus juru mudi dan program sokongan pendidikan untuk anak-anak nelayan yang masih di bangku sekolah sejak tahun lepas.

 

Malah, pada majlis yang berlangsung sebantar tadi, Memorandum Persefahaman (MoU) antara SRS Consortium Sdn. Bhd. dan Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang turut ditandatangai bagi tujuan penanaman pokok bakau dan spesies lain yang bersesuaian.

Serentak itu, turut termeterai adalah MoU pelantikan Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menjalankan penyelidikan pelabuhan tukun tiruan dan unjam serta pelepasan benih ikan serta udang yang akan memanfaatkan sektor perikanan dan nelayan tempatan.

 

Sementara itu, Wai Loong berharap semua kelulusan dapat diperoleh secara berperingkat pada tahun ini dan menjangkakan PSI boleh dilaksanakan bermula suku ketiga tahun ini.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

No Comments

Post A Comment