Latest News
PTMP Map
PSI
 

Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) melahirkan jurumudi baru

Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) melahirkan jurumudi baru

Siaran Media

9 JUN 2022

Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) melahirkan jurumudi baru

BAYAN LEPAS: Sembilan orang nelayan dari kawasan Pulau Pinang Selatan telah berjaya lulus kursus dan ujian Mate Domestik < 500 Gt (Terbuka) untuk menjadi jurumudi yang sah dan diakui Jabatan Laut Malaysia.

 

Kejayaan mereka telah diraikan dalam satu majlis graduasi yang dianjurkan oleh Penang Infrastructure Corporation (PIC) dan rakan pelaksana projek SRS Consortium bersama Jabatan Laut Malaysia di Eureka USAINS di Universiti Sains Malaysia pada petang ini.

 

Nelayan-nelayan ini adalah kumpulan pertama yang ditawarkan kursus jurumudi di bawah skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP).

 

Timbalan Ketua Menteri I Dato Ir Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman, yang menyampaikan Sijil Perakuan Kekompetenan (COC) kepada nelayan-nelayan tersebut berkata kejayaan mereka untuk lulus dalam ujian jurumudi ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan bagi nelayan di bawah skim SIMP.

 

Beliau berkata pembangunan PSR yang dipelopori Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk menjejaskan mata pencarian nelayan.

 

Katanya, Kerajaan Negeri memberi jaminan pembangunan PSR akan membawa komuniti Pulau Pinang Selatan, khasnya nelayan, maju ke depan bersama-sama.

 

“Selepas mendapat lesen jurumudi, nelayan-nelayan ini mempunyai kemahiran dan kelayakan untuk membawa bot penumpang. Mereka sudah boleh menyediakan perkhidmatan pengangkutan air dengan menggunakan bot penumpang berlesen dan membawa penumpang hingga 12 orang.

 

“Perkhidmatan pengangkutan air ini akan menjadi satu keperluan semasa peringkat pembinaan PSR. Di sini, peranan nelayan yang mempunyai lesen jurumudi akan menjadi penting.

 

“Ini membuka peluang untuk mereka mencari pendapatan tambahan yang akan membawa kebaikan kepada seisi keluarga mereka,” katanya dalam ucapan perasmian majlis graduasi tersebut.

 

Kursus jurumudi atau Mate Domestik < 500 Gt (Terbuka) merangkumi topik menjangka peta (chartwork), peraturan (rules and regulations), meteorologi, pengetahuan umum mengenai kapal dan kejuruteraan, Latihan am, dan “Restricted Operator Certificate”.

Mereka yang lulus peringkat penilaian bertulis pada penghujung kursus akan menduduki ujian lisan yang diadakan oleh Jabatan Laut Malaysia. Mereka yang lulus ujian lisan akan diberi Sijil Perakuan Kekompetenan (COC) yang akan membolehkan mereka bekerja sebagai jurumudi.

 

Salah seorang jurumudi baru, Haris Abdullah, 62, berkata akhirnya dia telah berjaya mencapai impiannya untuk mendapatkan lesen jurumudi.

 

Nelayan dari Teluk Kumbar itu adalah antara tiga nelayan veteran yang pertama lulus ujian jurumudi di Jabatan Laut pada bulan April lalu.

 

“Sudah 20 tahun saya bercita-cita nak mengambil kursus ini. Tetapi saya risau akan gagal kerana ramai kawan-kawan pernah gagal dahulu. Saya bersyukur saya berjaya lulus bersama kawan-kawan lain.

 

“Hari yang saya mengambil ujian itu di Jabatan Laut juga kali pertama saya memakai pakaian formal dengan tali leher yang dibelikan oleh anak saya,” katanya.

 

Nelayan wanita Fajinah Jaafar, 61, berkata dia hampir berputus asa semasa mengambil ujian kerana soalan yang ditanya dalam ujian lisan tersebut tidak terduga.

 

“Saya telah banyak membaca buku selepas pulang dari laut untuk membuat persediaan untuk ujian ini, tetapi soalan yang ditanya tidak terduga.

 

“Mujur pemeriksa memberi kami peluang untuk mencuba sehingga mendapat jawapan yang betul. Saya sangat lega and gembira untuk lulus,” katanya.

 

Seorang lagi nelayan, Loo Tang Nee, 42, dari Gertak Sanggul berkata matlamatnya untuk tahun ini sudah tercapai dengan kejayaannya untuk menjadi seorang jurumudi.

 

“Dengan lesen jurumudi ini, saya boleh mencari pendapatan sampingan pada masa depan,” katanya.

 

Pengarah Jabatan Laut Wilayah Utara, Tuan Haji Mohd Hafiz Bin Abdul Majid berkata pihaknya menghargai semangat yang telah ditunjukkan oleh sembilan orang nelayan tersebut untuk belajar dan lulus dalam ujian yang dijalankan, dan berharap lebih ramai nelayan akan berminat mengambil kursus jurumudi.

 

Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif PIC, Dato’ Sri Farizan Bin Darus,pengarah urusan Akademi Maritim Penjana Ilmu Sdn Bhd, Mohamad Nazir Bin Hamzah, dan wakil-wakil agensi berkaitan serta SRS.

 

tamat

No Comments

Post A Comment