28 Mei Persepsi terhadap PSR semakin baik
Published by Bharian • 28/05/2022 • 07:58am
BAYAN LEPAS: Persepsi komuniti setempat terhadap Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) bertambah baik dalam tempoh tiga tahun ini.
Menurut hasil Kajian Impak Sosial (SIA) yang disertakan dalam Laporan Kajian Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), tahap penerimaan dan persetujuan nelayan dan penduduk setempat yang tinggal berhampiran tapak projek itu mencapai 79.1 peratus pada tahun ini, berbanding 51.1 peratus pada 2019.
Kajian yang dilaksanakan oleh perunding perancang bandar berdaftar SA Planning Services bersama perunding alam sekitar, Dr Nik and Associates pada Januari tahun ini, mendapati 74.8 peratus daripada 314 nelayan yang disoal selidik berkata, mereka bersetuju dengan cadangan projek PSR.
Pada masa sama, 82.3 peratus daripada 450 orang awam yang ditemui juga menyatakan penerimaan mereka. Secara keseluruhan, 79.1 peratus daripada 764 orang bersetuju dengan projek cadangan kerajaan negeri Pulau Pinang itu.
Nelayan lebih faham PSR
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation, Datuk Seri Farizan Darus, berkata pencapaian ini adalah hasil usaha kerajaan negeri, Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) dan rakan pelaksana projek SRS Consortium dalam menyampaikan maklumat sahih mengenai pembangunan PSR kepada masyarakat setempat, terutamanya nelayan.
“Usaha ini dirancakkan lagi sejak Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP ) diumumkan pada tahun lalu. Apabila pertemuan tidak dapat dilakukan, maklumat disampaikan kepada nelayan melalui mesej pesanan ringkas dan mesej WhatsApp.
“Beberapa inisiatif SIMP yang dilaksanakan sejak tahun lalu walaupun projek masih belum bermula juga membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan negeri komited, memastikan komuniti nelayan dan penduduk setempat maju bersama pembangunan PSR,” katanya.
Perancang bandar berdaftar, TPr Saiful Azman Abdul Rashid, berkata peningkatan tahap penerimaan dan persetujuan ini menunjukkan bahawa nelayan dan penduduk tempatan sedar akan kepentingan PSR kepada pembangunan ekonomi serta kesejahteraan penduduk Pulau Pinang.
“Mereka mendapat maklumat lebih tepat dan gambaran sebenar mengenai PSR daripada PPSN yang telah diwujudkan di kawasan mereka.
“Mereka juga memahami faedah yang akan diberi seperti bayaran ex-gratia, pemberian bot dan enjin baharu serta peluang pekerjaan, pendidikan dan latihan kemahiran yang akan memanfaatkan diri dan anak mereka,” kata Saiful yang berpengalaman 25 tahun dalam bidang perancangan bandar.
Manfaat sosioekonomi bagi nelayan
Faedah itu adalah daripada skim SIMP yang diumumkan pada awal 2021. Apabila kajian SIA yang terdahulu dijalankan, skim SIMP masih belum dimuktamadkan oleh kerajaan negeri.
Skim SIMP juga termasuk penyediaan alur navigasi yang membolehkan nelayan ke laut 24 jam sehari tanpa mengira air pasang atau surut dan jeti baharu untuk unit nelayan Permatang Tepi Laut, Teluk Kumbar, Sungai Batu dan Gertak Sanggul.
Pendaftaran SIMP sudah bermula tahun lalu. Kebanyakan nelayan yang sudah berdaftar diberi RM500 sebagai bayaran pendahuluan bagi bantuan exgratia yang dijanjikan.
Baki bantuan ex-gratia akan diberikan dalam dua bayaran setelah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Putrajaya meluluskan laporan EIA dan Pelan Penguruan Alam Sekitara projek PSR.
Pada April tahun ini, sembilan nelayan juga sudah lulus ujian bagi memperolehi Sijil Perakuan Kekompetenan (COC) daripada Jabatan Laut untuk menjadi pelaut yang boleh bekerja di atas kapal yang kurang daripada 500 tan kasar (gross tonnage) dan membawa penumpang di perairan Malaysia.
Kerajaan negeri juga telah menubuhkan Koperasi Komuniti Pulau Pinang Selatan Berhad (KKPPSB) pada Mac tahun ini untuk melindungi nelayan setempat dieksploitasi orang tengah dan mewujudkan peluang perniagaan.
Antara kegiatannya adalah menguruskan pembuatan bot dan pembekalan enjin baharu untuk tekong yang berkelayakan, serta pembinaan jeti dan stor sementara untuk nelayan Permatang Tepi Laut dan Kampung Binjai.
Lebih ramai responden Saiful berkata, jumlah nelayan yang terbabit dalam kajian SIA pada kali ini lebih besar daripada 200 orang yang ditemui pada 2019.
Mengikut data daripada Jabatan Perikanan, jumlah nelayan berdaftar di zon pengaruh impak (ZOI) pembangunan PSR adalah 952 orang dari unit nelayan Gertak Sanggul, Teluk Kumbar, Sungai Batu, Permatang Tepi Laut, Pulau Betong, Kuala Sungai Burung, Seri Jerejak, Batu Maung dan Teluk Tempoyak.
Saiful berkata, formula jadual Krejcie dan Morgan telah digunakan untuk menentukan saiz sampel yang mewakili populasi nelayan dan penduduk setempat di kawasan ZOI.
“Sampel yang dipilih secara rawak kali ini lebih besar bagi memastikan maklumat yang diperolehi adalah lebih tepat. Semakin banyak sampelnya, maka semakin tinggi tahap keyakinan dan semakin rendah tahap kesilapan terhadap data itu.
“Selain itu, tahap kerjasama nelayan kali ini sangat tinggi berbanding dahulu. Mereka bersikap terbuka dan jujur ketika menjawab soalan serta yakin bahawa kerajaan negeri benarbenar ingin membantu mereka,” kata Saiful.
Soalan yang ditanya kepada nelayan dan responden lain mengenai PSR, termasuk tahap kebimbangan mereka terhadap projek penambakan dan masalah yang boleh timbul sebelum dan ketika pembinaan seperti isu keselamatan, pencemaran, hakisan, banjir dan lain-lain.
Nelayan juga ditanya mengenai aktiviti penangkapan ikan, pandangan mereka mengenai PSR, dan kebaikan projek seperti peluang pekerjaan serta perniagaan.
Saiful berkata, isu yang dibangkitkan oleh nelayan adalah hampir sama seperti yang terdahulu iaitu sumber maklumat yang tidak tepat, pendapatan nelayan mungkin terjejas, kawasan tangkapan ikan mengecil, isu keselamatan dan gangguan terhadap bot nelayan.
“Nelayan bimbang akan keselamatan mereka ketika kerja pengorekan dan penambakan dijalankan di mana kapal korek dan kapal mengangkut pasir akan berulang alik di kawasan perairan.
“Mereka risau tangkapan mereka akan berkurangan dan mereka terpaksa pergi lebih jauh untuk menangkap ikan,” katanya.
Langkah mitigasi mesra alam
Namun, Saiful berkata langkah mitigasi seperti yang tertera dalam laporan EIA akan dilaksanakan untuk memastikan kerja penambakan dan pembinaan dijalankan secara terancang lagi terkawal.
Selain SIMP, laporan EIA projek PSR juga menyebut mengenai program pengimbangan ekologi (PEOM) seperti penanaman pokok bakau, pelabuhan tukun tiruan dan unjam dan sebagainya yang akan membawa manfaat kepada alam laut dan sektor perikanan.
Pelaksanaan PEOM sudah bermula dengan penanaman 3,200 pokok bakau yang melibatkan Penang Infrastructure Corporation, rakan pelaksana projek SRS Consortium, Jabatan Perhutanan Negeri, dan Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan sejak 2016.
Pembangunan PSR juga menyasarkan penanaman 22,300 pokok bakau di Pulau A untuk mewujudkan habitat baharu dan kawasan nurseri untuk ikan dan udang.
Saiful berkata, mengikut pengalamannya dalam menjalankan kajian SIA, belum ada rancangan mitigasi yang holistik yang khas untuk menjaga kepentingan nelayan seperti yang sedang dirancang untuk projek PSR.
Katanya, rancangan mitigasi projek PSR boleh dijadikan contoh untuk menjaga kepentingan nelayan yang terlibat dalam projek penambakan laut.
“Sebelum ini, tiada rancangan mitigasi yang menyeluruh seperti ini. Keadaan itu telah menyebabkan nelayan berasa mereka disisih dan tidak diambil peduli kerana dikatakan tidak membantu atau memberi manfaat kepada projek yang hendak dijalankan.
“Tetapi, kita dapat lihat bahawa langkah mitigasi PSRadalah sangat menyeluruh dari segi sosial dan alam sekitar. Program yang dicadangkan akan dapat membantu kelangsungan hidup nelayan dalam tempoh yang panjang,” katanya.
Laporan EIA projek PSR sedang menjalani pameran awamselama sebulan mulai 20 Meihingga 18 Jun 2022.
Sorry, the comment form is closed at this time.