Latest News
PTMP Map
PSI
 

Koperasi baharu bakal membawa masa depan yang lebih baik kepada nelayan dan penduduk Pulau Pinang Selatan

Koperasi baharu bakal membawa masa depan yang lebih baik kepada nelayan dan penduduk Pulau Pinang Selatan

SIARAN MEDIA

10 MARCH 2022

Koperasi baharu bakal membawa masa depan yang lebih baik kepada nelayan dan penduduk Pulau Pinang Selatan

Bayan Lepas, 10 Mac – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini mengumumkan penubuhan sebuah koperasi baru yang akan memberi manfaat kepada nelayan, penduduk dan komuniti perniagaan setempat di Pulau Pinang Selatan.

 

Koperasi Komuniti Pulau Pinang Selatan Berhad (KKPPSB) ditubuhkan di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR). Seminar dan mesyuarat agung pertamanya telah diadakan pada pagi ini di Hotel Seri Malaysia, Bayan Baru.

 

Timbalan Ketua Menteri I YB Dato Ir. Ahmad Zakiyuddin Bin Abdul Rahman berkata penubuhan KKPPSB adalah wajar kerana projek pembangunan PSR akan merancakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan sekitar projek.

 

“KKPPSB akan memainkan peranan yang besar dalam merealisasikan manfaat-manfaat SIMP seperti pembinaan jeti nelayan, peluang pekerjaan dan perniagaan, sokongan keusahawanan dan sebagainya.

 

“Banyak peluang perniagaan akan diwujudkan seperti pembekalan barangan dan perkhidmatan yang menyokong pembangunan PSR, aktiviti perikanan rekreasi dan agropelancongan yang akan membawa pendapatan yang bagus untuk masyarakat setempat,” katanya semasa majlis pembukaan mesyuarat agung tersebut.

 

Kerajaan Negeri telah memperuntukkan modal sebanyak RM5 juta untuk membolehkan KKPPSB memulakan beberapa aktiviti perniagaan sebagai permulaan.

 

Aktiviti-aktiviti tersebut adalah pemasaran hasil laut yang akan dibeli daripada nelayan, perkhidmatan pengangkutan bot untuk pekerja pembinaan PSR, dan pembinaan serta pengurusan jeti nelayan yang bakal dibina di bawah skim SIMP.

 

Pada masa depan, KKPPSB juga akan menjalankan aktiviti lain seperti melabuh unjam dan tukun tiruan, mengusahakan hatcheri benih ikan dan udang, menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, membekalkan makanan dan menyediakan pengangkutan bas atau van untuk pekerja pembinaan.

 

Koperasi ini juga bercadang untuk menceburi perniagaan pasaraya mini, restoran dan kafe dalam bentuk kabin kiosk; membekalkan ais kepada nelayan dan perniagaan sekitar, dan menguruskan stesen petrol serta perniagaan hasil laut kering.

 

KKPPSB juga boleh mengusahakan perkhidmatan bot penumpang untuk aktiviti pelancongan termasuk agropelancongan seperti perikanan rekreasi (sport fishing).

 

Sebagai contoh, KKPPSB akan menguruskan jeti perikanan rekreasi di Sungai Kluang pada masa depan. Jeti sedia ada yang terlibat dalam pembinaan komponen Pan Island Link 1 akan digantikan dengan jeti moden.

 

“Pihak koperasi juga akan diberi pemilikan asset di PSR selaras dengan jaminan Kerajaan Negeri bahawa pembangunan ini tidak akan meminggirkan komuniti setempat.

 

“Selain dividen, ahli koperasi akan menikmati pelbagai faedah lain seperti peluang perniagaan dan pekerjaan, dan khariat kematian ahli,” kata Datuk Zakiyuddin yang juga EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti.

 

Keahlian KKPPSB yang akan dibuka secara berperingkat adalah terbuka kepada:
a) Kategori 1: Nelayan yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan yang beroperasi di koridor Pulau Pinang Selatan, iaitu di sekitar Teluk Tempoyak, Seri Jerejak, Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar, Batu Maung, Gertak Sanggul, Pulau Betong dan Kuala Sungai Burung.
b) Kategori 2: Mereka yang tinggal atau bekerja di kawasan Pulau Pinang Selatan
c) Kategori 3: Pegawai kerajaan negeri dan agensi pelaksana projek

 

Untuk memastikan nelayan menjadi majoriti dalam keahlian koperasi, ahli koperasi Kategori 1 juga akan diberi 500 syer tambahan.

 

Yuran pendaftaran untuk menjadi ahli adalah RM10 manakala perolehan hak dan syer minimum adalah RM100.

 

Datuk Zakiyuddin berkata Kerajaan Negeri berharap komuniti nelayan akan mengambil peluang untuk menyertai KKPPSB untuk menikmati manfaat yang ditawarkan.

 

“Komuniti perniagaan dari kawasan Pulau Pinang Selatan yang berpotensi membekalkan perkhidmatan untuk pembangunan PSI juga dialu-alukan menyertai koperasi sebagai ahli Kategori 2.

 

“Projek PSI akan mewujudkan banyak peluang perniagaan yang boleh dimanfaatkan oleh peniaga-peniaga setempat, dan KKPPSB akan menjadi pemain yang penting dalam landskap perniagaan kawasan Pulau Pinang Selatan untuk tahun-tahun yang akan datang,” katanya.

 

Untuk memastikan operasi KKPPSB mencapai matlamatnya, iaitu menambah baik keadaan sosio-ekonomi masyarakat Pulau Pinang Selatan, khususnya komuniti nelayan, KKPPSB akan diuruskan dengan telus dengan adanya 12 ahli lembaga pengarah yang dilantik dari kalangan komuniti nelayan, penduduk setempat, agensi pelaksana dan Kerajaan Negeri.

 

Enam orang yang mewakili komuniti nelayan, penduduk setempat, pegawai kerajaan negeri dan agensi pelaksana akan dilantik pada hari ini dalam mesyuarat agung.

 

Enam lagi akan dinamakan oleh Kerajaan Negeri untuk dilantik sebagai ahli Lembaga pengarah berdasarkan jawatan yang dipegang. Mereka adalah wakil dari exco koperasi, Bahagian Pembangunan Ekonomi Negeri (BPEN), Penang Infrastructure Corporation dan rakan pelaksana projek SRS Consortium Sdn Bhd.

 

Bekas nelayan sepenuh masa Mad Zin Che Din, 73, dari Teluk Kumbar berkata inisiatif untuk menubuhkan koperasi tersebut adalah bagus.

 

Beliau juga berasa perniagaan-perniagaan yang dicadangkan boleh dilaksanakan.

 

“Saya berasa perniagaan yang dicadangkan boleh berjalan selagi koperasi ada pengurusan yang baik. Saya rasa perkara itu tidak mustahil,” katanya.

 

Mad Zin berkata beliau berminat untuk menjadi ahli kerana selesa dengan kehadiran wakil Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam Lembaga pengarahnya.

 

“Dengan sokongan kerajaan negeri, saya rasa koperasi ini akan berjaya dan memberi banyak manfaat kepada ahli-ahlinya,” tambahnya.

 

Nelayan Teluk Kumbar Yeoh Teong Chye, 58, juga menyuarakan keyakinannya pada koperasi baharu tersebut.

 

Katanya, KKPPSB boleh memberi masa depan yang lebih baik kepada komuniti nelayan setempat.

 

“Saya sudah mengisi borang keahlian. Saya yakin koperasi ini ada masa depan yang cerah. Kita harus menyokong apa yang mampu memberi kita masa depan yang lebih cerah,” katanya.

 

Tamat

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.