Latest News
PTMP Map
PSI
 

Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan: Nelayan Memanfaatkan Program Latihan Jurumudi Pertama di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial

Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan: Nelayan Memanfaatkan Program Latihan Jurumudi Pertama di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial

SIARAN MEDIA

6 MARCH 2022

Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan:

Nelayan Memanfaatkan Program Latihan Jurumudi Pertama di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial

Perai, 6 Mac – Sepuluh orang nelayan dari Pulau Pinang Selatan telah menjadi
kumpulan pertama untuk memanfaatkan kursus jurumudi yang ditawarkan di bawah skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR).

 

Mereka telah berjaya mengikuti kursus “Mate Domestic less than 500 GT Open” yang telah dijalankan selama tujuh hari di Akademi Maritim Penjana Ilmu di Taman Inderawasih di sini.

 

Kursus tersebut yang tamat hari ini merangkumi topik menjangka peta (chartwork), peraturan (rules and regulations), meteorologi, pengetahuan umum mengenai kapal dan kejuruteraan, latihan am, dan “Restricted Operator Certificate”.

 

Mereka yang telah lulus penilaian bertulis akan mengambil ujian lisan yang dikendali oleh Jabatan Laut Malaysia dalam masa dua minggu. Mereka yang berjaya lulus akan diberi Sijil Perakuan Kekompetenan (COC) yang membolehkan mereka bekerja sebagai pelaut di perairan Malaysia.

 

Dengan adanya sijil ini, nelayan boleh meluaskan pengalaman dan kemahiran mereka dan bekerja di atas pontoon dan kapal-kapal yang kurang daripada 500 tanan kasar (gross tonnage).

 

Mereka akan berpeluang memberi perkhidmatan pengangkutan bot untuk pekerja pembinaan dan pelancong di masa depan sebagai satu sumber pendapatan tambahan atau alternatif.

 

Haris Abdullah, 61, yang telah mengikuti kursus tersebut berkata projek PSR ternyata dapat memberi nelayan banyak pengetahuan and pendedahan baru yang tidak ternilai.

 

“Sudah banyak tahun saya menjadi nelayan, tetapi saya tidak pernah tahu tentang peraturan laut.

 

“Hari ini, saya mendapat tahu tentang banyak peraturan yang ada di laut,” kata nelayan yang tinggal di Sungai Batu itu yang telah menangkap ikan selama lebih 40 tahun.

 

Haris berkata sekiranya projek PSR membuka peluang pekerjaan baru, beliau juga berminat mencuba nasibnya.

 

“Sudah lama menjadi nelayan. Kami juga mahu cara kehidupan yang lain,” tambahnya.

 

Seorang lagi nelayan veteran dari kawasan PSR, Fajinah Jaafar, 60, juga berkata kursus jurumudi tersebut sangat berguna bagi nelayan yang biasanya tidak akan tahu tentang peraturan laut.

 

“Kursus ini amat baik dalam memberikan nelayan pengalaman dan pengetahuan tentang undang-undang yang ada.

 

“Sebelum ini, kami buat kerja mengikut cara kami, mengikut suka hati. Sekarang kami tahu apa yang boleh buat dan tak boleh buat,” katanya.

 

Fajinah berkata bukan senang untuk nelayan biasa mendapat peluang mengikuti kursus jurumudi.

 

“Bukan mudah untuk kami datang secara individu untuk mendaftar dan mengikuti kursus seperti ini kerana yurannya tinggi.

 

“PSR telah memberikan kita peluang. Ini adalah salah satu kebaikan yang nelayan dapat daripada projek PSR. Selepas ini, jika projek menawarkan peluang pekerjaan, saya juga sangat mengalu-alukannya,” tambahnya.

 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperuntukkan RM100 juta untuk
melaksanakan SIMP bagi membangunkan komuniti nelayan setempat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation, Dato’ Seri Farizan Bin Darus berkata kursus jurumudi adalah antara program latihan yang ditawarkan di bawah program penglibatan komuniti PELITAKU yang menyelaraskan dan melaksanakan sebahagian skim SIMP.

 

Katanya, sepuluh orang nelayan yang dipilih untuk menyertai kumpulan pertama bagi program kursus jurumudi adalah antara mereka yang telah mendaftar untuk menerima skim SIMP dan telah menyatakan minat mereka untuk memperolehi sijil jurumudi.

 

“Saya mengucapkan tahniah kepada 10 orang nelayan yang telah selesai mengikuti kursus dengan lancar. Semoga berjaya dalam ujian lisan yang akan diambil tidak lama lagi untuk mendapat Sijil Perakuan Kekompetenan daripada Jabatan Laut.

 

“Apabila projek PSR bermula dalam separuh kedua tahun ini, ramai lagi nelayan yang telah mendaftar untuk skim SIMP akan diberi peluang mengikuti kursus jurumudi ini yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia, atau program latihan lain yang sesuai dengan pekerjaan dan minat mereka seperti pembaikan dan penyelenggaraan bot dan enjin.

 

“Ini adalah peluang yang amat baik bagi nelayan yang mahu meluaskan pengetahuan mereka dan mendapatkan kemahiran baru kerana kos kursus dan latihan keseluruhannya dibiayai Kerajaan Negeri,” katanya semasa majlis penutupan program tersebut.

 

Dato’ Seri Farizan berkata Kerajaan Negeri dan rakan pelaksana projek SRS Consortium sedang membuat perancangan dan persiapan untuk mengadakan kursus jurumudi untuk kumpulan nelayan yang seterusnya dan program-program lain yang memanfaatkan nelayan dan keluarga mereka.

 

Salah satu manfaat SIMP yang penting yang juga akan diselaraskan dan dilaksanakan di bawah PELITAKU adalah tuisyen untuk anak-anak nelayan di sekolah rendah dan menengah. Program tuisyen ini dijangka akan bermula pada bulan Mei tahun ini.

 

“Perancangan tuisyen, khasnya untuk pelajar SPM 2022, kini berada di peringkat akhir,” kata Dato’ Seri Farizan.

 

Beliau berkata pelaksanaan program tuisyen yang sedang diperhalusi ini bertujuan untuk membantu anak-anak nelayan belajar dengan lebih baik dan mencapai keputusan akademik yang membolehkan mereka melanjutkan pelajaran dan mendapat pekerjaan yang baik pada masa depan.

 

“Pelajar yang berjaya ini kelak berpeluang menjadi ahli professional seperti jurutera, arkitek, akauntan dan lain-lain yang boleh melibatkan diri dalam pembangunan PSR apabila mereka tamat pengajian tinggi dalam masa empat (4) sehingga enam (6) tahun lagi,” katanya.

 

Pada ketika itu, penambakan Pulau A Fasa 1 yang seluas 1,200 ekar dijangka sudah selesai dan boleh memulakan pembangunan topside serta mewujudkan lagi peluang pekerjaan untuk graduan-graduan yang lahir dari komuniti nelayan Pulau Pinang Selatan.

 

Dato Seri Farizan bertegas bahawa projek PSR bertujuan membangunkan ekonomi Pulau Pinang dan membawa pembaharuan yang positif kepada masyarakat setempat di Pulau Pinang Selatan, khususnya komuniti nelayan, agar mereka dapat menikmati peningkatan sosioekonomi untuk jangka masa panjang.

 

Beliau berkata sekiranya Kerajaan Negeri hanya memberi bantuan kewangan tanpa menyediakan program-program lain, nelayan tidak akan dapat menambah baik kehidupan mereka untuk jangka masa yang panjang.

 

“Ini selaras dengan prinsip, jika kita beri ikan, ikan tersebut akan habis dimakan. Tetapi jika joran yang kita berikan, maka joran tersebut boleh digunakan untuk menangkap ikan untuk dijadikan makanan pada setiap masa.

 

“Melalui projek PSR ini, Kerajaan Negeri mahu mewujudkan lebih banyak peluang untuk nelayan seperti peluang pekerjaan dan perniagaan, dan peluang untuk mengikuti kursus dan latihan untuk meningkatkan kemahiran serta menambahkan pengetahuan mereka.

 

“Kerajaan Negeri mahu membantu nelayan memperkasakan diri masing-masing untuk lebih berdaya saing demi menambah baik kehidupan keluarga mereka,” katanya.

Tamat

Dato Seri Farizan Bin Darus (ketiga dari kiri) mengucapkan tahniah kepada nelayan yang telah selesai mengikuti kursus jurumudi.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.