Latest News
PTMP Map
PSI
 

Zairil jawab isu PSR dibangkitkan Nurul Izzah

Zairil jawab isu PSR dibangkitkan Nurul Izzah

Published by Utusan • 01/06/2021 • 03:38 pm

GEORGETOWN: Krisis ekonomi yang tercetus akibat pandemik Covid-19 menjadikan tambak laut di perairan selatan (PSR) dan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang sebagai projek penting untuk dilaksanakan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, projek tersebut merupakan pemacu pemulihan utama ekonomi negeri ini ketika dan selepas krisis Covid-19.

 

Malah jelas beliau, projek PSR amat diperlukan untuk menjadi pemangkin utama bagi membangunkan Pulau Pinang dalam dunia pasca Covid-19.

 

Tambahnya, satu kajian bebas menunjukkan setelah siap kelak, PSR mampu menarik RM70 bilion pelaburan langsung asing dan mewujudkan lebih 30,000 peluang pekerjaan sepanjang tempoh 30 tahun.

 

“PSR juga akan menjadi pemangkin peluang pekerjaan bernilai tinggi supaya kita bukan sahaja dapat mengurangkan penghijrahan keluar modal insan dari negeri ini, malah menarik lebih ramai modal insan yang berbakat dari dalam dan luar negara ke Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Kenyataan itu merupakan maklum balas kepada gesaan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar supaya Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri membatalkan projek PSR dengan serta-merta.

 

Nurul Izzah menyifatkan projek tersebut tersasar daripada tujuan asal sebaliknya lebih banyak menumpukan kepada kepentingan sesetengah pihak serta mengabaikan kelestarian alam sekitar dan menjejaskan punca rezeki golongan nelayan.

 

Berhubung dakwaan mengabaikan kelestarian alam, Zairil berkata, ketiga-tiga pulau buatan dalam PSR telah dirancang dengan kawasan hijau awam yang luas.

 

Jelasnya, sebanyak 20 peratus kawasan disediakan untuk taman dan padang, kawasan paya bakau, terusan air dan tanah lembap untuk mencapai penurunan suhu persekitaran.

 

“Tambahan pula, PSR menyasarkan menurunkan pengeluaran karbon sebanyak 40 peratus dan pencapaian 100 peratus penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta mengurangkan permintaan air tawar sebanyak 70 peratus,” katanya.

 

Berkenaan sumber rezeki nelayan yang terjejas pula, Zairil berkata, adalah tidak keterlaluan untuk mengatakan pakej ex-gratia yang ditawarkan kepada para nelayan yang terlibat dalam projek itu adalah pakej bayaran berskala besar paling lumayan di Malaysia.

 

Ini kerana katanya, nelayan terbabit bukan sahaja menerima bayaran tunai malah menerima bot dan enjin baharu, membawa jumlah nilai pakej tersebut kepada hampir RM60,000 setiap seorang tertakluk kepada kategori.

 

“Bagi meyakinkan Nurul Izzah, kerajaan negeri sedia mengaturkan perjumpaan beliau bersama para nelayan yang benar-benar terlibat agar memperoleh gambaran lebih tepat, bukannya bersandarkan kepada nasihat yang salah,” katanya.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.