Latest News
PTMP Map
PSI
 

Tinjauan : Rakyat Pulau Pinang mahu projek LRT Komtar – Bayan Lepas diteruskan

Tinjauan : Rakyat Pulau Pinang mahu projek LRT Komtar – Bayan Lepas diteruskan

RATA-rata penduduk di negeri ini sependapat mengenai peri pentingnya perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) sebagai mod pengangkutan awam yang efisien bagi Pulau Pinang pada masa kini dan akan datang.

Naib Presiden Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC), DATUK FINN CHOONG KHUAT SENG berkata, inisiatif membangunkan projek LRT adalah perancangan jangka panjang untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menggerakkan Pulau Pinang ke arah bandar bertaraf dunia.

 

“Kita tidak boleh hanya melihat kepada LRT semata-mata tetapi harus secara holistik bersama-sama komponen yang lain seperti pelebaran jalan, penambakan dan penggunaan tanah serta lain-lain lagi.

Datuk Finn Choong Khuat Seng.

“Pandangan saya adalah inisiatif ini sangat penting jika kita mahu menjadi bandar bertaraf dunia yang sebenar dan bukannya hanya sekadar nama.

 

“Pulau Pinang sebenarnya boleh menerbitkan bon sendiri untuk membiayai projek LRT yang mana pelabur atau orang awam boleh membeli bon tersebut dan ia dapat membantu membiayai projek pertama ini.

 

“Langkah ini merupakan salah satu cara untuk menyediakan dana alternatif setelah Putrajaya memutuskan untuk membatalkan jaminan pinjaman,” ulasnya ketika dihubungi hari ini.

MUAZIM SHUHAIMI, pula menyatakan bahawa perkhidmatan LRT Komtar ke Bayan Lepas adalah penting sebagai salah satu alternatif untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini.

 

“Bukan sahaja untuk mengatasi kesesakan lalu lintas tetapi saya yakin perkhidmatan LRT juga dapat memberi banyak manfaat lain kepada rakyat seperti menjimatkan masa dan wang.

Muazim Shuhaimi.

“Sebagai contoh sebelum ini saya hanya menggunakan kenderaan sendiri untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang tetapi sekiranya ada perkhidmatan LRT sudah tentu saya akan memilih untuk menaiki LRT kerana lebih mudah.

 

“Justeru, adalah diharapkan agar Kerajaan Negeri dapat mencari penyelesaian terbaik bersama-sama Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan projek ini demi manfaat rakyat di negeri ini,” katanya.

Bagi WAN NORUZILA WAN ZULKIFLI, LRT merupakan pengangkutan awam yang baik untuk masa depan Pulau Pinang yang sedang bergerak ke arah sebuah negeri maju dan bertaraf antarabangsa.

 

Selain itu, katanya, sebagai sebuah negeri perindustrian, Pulau Pinang bukan hanya menerima impak daripada segi pertumbuhan ekonomi malah turut mengalami pertambahan kepadatan penduduk dan bilangan kenderaan.

Wan Noruzila Wan Zulkifli.

“Sekiranya langkah untuk mengatasi kesesakan lalu lintas tidak dibuat sekarang kita bimbang keadaan kesesakan di negeri ini akan bertambah parah pada masa akan datang.

 

“Jadi, pada saya projek pembangunan LRT adalah tepat pada masanya yang mampu memberi lebih banyak limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri ini.

 

“Cuma apa yang kita harapkan adalah stesen LRT perlu dibina di kawasan yang mudah diakses oleh pengguna,” jelasnya.

Sementara itu, BENJI ANG MING QUAN berpendapat bahawa LRT sewajarnya menjadi salah satu pertimbangan untuk membolehkan Pulau Pinang mempunyai perancangan sistem pengangkutan yang lengkap dalam usaha menuju ke arah negeri maju.

 

Beliau berkata, data dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan bahawa kira-kira 1.13 juta kenderaan persendirian atau komersial telah didaftarkan di negeri ini.

Benji Ang Ming Quan.

“Bagi laluan LRT Komtar – Bayan Lepas, saya rasa perlu. Lagipun, Komtar adalah salah satu mercu tanda utama Pulau Pinang yang menempatkan pejabat pentadbiran kerajaan.

 

“Namun, saya rasa Kerajaan Negeri juga perlu mempertimbangkan untuk menjadikan stesen bas Bayan Lepas – Sungai Nibong sebagai stesen pemindahan supaya dapat mengintegrasikan pengguna ke pelbagai kawasan dengan berkesan.

 

“Sebagai anak jati Pulau Pinang, saya rasa Kerajaan Persekutuan dan Negeri perlu mengetepikan perbezaan politik dan memberi tumpuan kepada pembangunan negara secara menyeluruh,” katanya lagi.

PATHMANATHAN, turut menyatakan sokongan penuh terhadap projek LRT demi manfaat rakyat terbanyak.

 

“Ini merupakan projek khusus untuk manfaat rakyat yang mana mereka boleh mengelakkan kesesakan lalu lintas serta menjimatkan wang untuk mengisi petrol.

Pathmanathan

Terdahulu, Menteri Kewangan berkata bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan memberi jaminan kepada permohonan pinjaman RM2.04 bilion oleh kerajaan Pulau Pinang bagi projek LRT Komtar ke Bayan Lepas.

 

Bagaimanapun, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam kenyataan media hari ini memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan meneruskan projek tersebut walaupun Kerajaan Persekutuan menolak permohonan Pulau Pinang untuk mendapatkan pinjaman dan jaminan berjumlah RM2 bilion.

 

“Kerajaan Negeri tidak akan berputus asa, sebaliknya bakal meneruskan usaha melaksanakan projek LRT berkaitan (kerana) umumnya mempunyai beberapa opsyen kewangan lain bagi membiayai projek-projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP),” ujarnya sebagai dipetik.

 

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.