12 Dec PPSN Sungai Batu jadi pusat informasi penduduk untuk projek PSR
Published by Utusan Malaysia • 12/12/2021 • 05:57 pm
CHOW KON YEOW ketika merasmikan Pejabat Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) yang terbaharu di Sungai Batu, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
GEORGETOWN: Pejabat Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) yang terbaharu di Sungai Batu, Bayan Lepas di sini menjadi pusat informasi di mana penduduk dan komuniti setempat boleh mendapatkan maklumat mengenai Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pejabat itu adalah PPSN ketiga ditubuhkan kerajaan negeri di kawasan perkampungan nelayan di Pulau Pinang Selatan, yang mana PPSN pertama dibuka pada 2016 di Permatang Damar Laut diikuti di Gertak Sanggul setahun kemudian.
Jelas beliau, PPSN itu berperanan sebagai pusat informasi di mana penduduk dan komuniti setempat boleh mendapatkan maklumat mengenai PSR selain selaras dengan visi Penang 2030 yang menekankan pembangunan keluarga dalam negeri yang hijau dan pintar.
“PPSN memainkan peranan yang penting di kawasan ini yang mana pegawai informasi menjalankan pertemuan dengan nelayan setempat secara individu dan berkumpulan untuk mendapatkan maklumat serta menyalurkan maklumat sahih mengenai projek PSR,” katanya selepas merasmikan PPSN Sungai Batu, di sini semalam.
Menurut Kon Yeow, maklumat dan maklum balas nelayan yang dikumpul oleh PPSN membantu kerajaan megeri merangka skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) yang akan memanfaatkan komuniti tersebut dan program penglibatan komuniti yang dijenamakan sebagai Pelitaku. – UTUSAN ONLINE
Sorry, the comment form is closed at this time.