17 Apr Penang LRT Hunt 27 Julai, Ketua Menteri harap dapat semarak kesedaran awam terhadap projek Kerajaan
GEORGE TOWN – Edisi kedua acara Penang LRT Hunt 2019 akan dianjurkan pada 27 Julai ini seawal 6.30 pagi, dari Maybank Cawangan Komtar ke lokasi akhir di Giant Jalan Tengah, Bayan Baru.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa tujuan penganjuran acara itu adalah demi meningkatkan pengetahuan serta kesedaran awam mengenai projek transit aliran ringan (LRT) dari Bayan Lepas ke Komtar.
“Ini adalah sesi atau acara untuk bertemu orang awam, bagi meningkatkan kesedaran mereka mengenai (cadangan pemajuan) stesen-stesen bagi projek LRT ini, iaitu Komtar, Macallum, Bandar Sri Pinang, Sky Cab, East Jelutong, The Light, Gelugor, USM, Batu Uban, Pesta, Sungai Nibong, Bukit Jambul, SPICE dan Jalan Tengah,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi dalam sidang media promosi acara tersebut di Komtar pada 17 April 2019.
Hampir semua Exco Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang menyertai sidang media itu.
Dalam pada itu, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atas penganjuran bersama acara tersebut.
“Sasaran maksimum adalah 400 peserta atau 100 pasukan, mereka yang daftar dulu, mereka ada tempat,” ujarnya sambil memberitahu bahawa tarikh tutup pendaftaran ialah pada 30 Jun 2019.
Pertanyaan lanjut atau urusan pendaftaran boleh hubungi, Mohamad Hadziq ([email protected] / 04-6505774) atau Mohamad Ridzuan ([email protected] / 04-6505681).
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : DARWINA MOHD. DAUD
Sorry, the comment form is closed at this time.