31 Mar Pelan mitigasi PSR wajar jadi contoh
Published by Utusan Malaysia • 31/03/2022
PUSAT Perkhidmatan Setempat Nelayan Permatang Damar Laut dan Sungai Batu, Pulau Pinang menerima lawatan delegasi Selangor terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan organisasi berkaitan kerajaan yang ingin memahami pelaksanaan PSR dan pelan mitigasinya.
GEORGETOWN: Pendekatan yang diambil Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menjaga kebajikan komuniti nelayan menerusi pelan mitigasi Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) boleh dicontohi mana-mana pihak yang berhasrat melaksanakan pembangunan seumpamanya.
Pengarah Divisyen Pelaburan dan Perkhidmatan Sokongan Invest Selangor, Shahrul Azamin Abdullah berkata, pendekatan untuk menambah baik kehidupan komuniti nelayan melalui pelaksanaan PSR adalah amat baik.
“Penyelesaian isu-isu yang melibatkan masyarakat setempat adalah amat penting kerana Pulau Pinang memerlukan pembangunan PSR untuk menjamin masa depannya,” katanya ketika mengadakan lawatan teknikal ke Pulau Pinang baru-baru ini.
Shahrul merupakan antara delegasi dari Selangor yang diberikan taklimat oleh Penang Infrastructure Corporation (PIC) dan rakan pelaksana projek SRS Consortium mengenai pembangunan PSR dan pelan mitigasinya termasuk Program Pengimbangan Ekologi (PEOM) dan Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP).
PEOM bertujuan meminimumkan kesan projek terhadap alam sekitar dan mewujudkan habitat baharu untuk hidupan laut melibatkan penanaman pokok bakau, pelabuhan tukun tiruan dan unjam, pembinaan pantai mesra alam dan langkah-langkah pengimbangan ekologi lain.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PIC, Datuk Seri Farizan Darus berkata, perjalanan Pulau Pinang untuk merealisasikan PSR tidak mudah selama ini.
“Kami berbesar hati usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang selama ini telah mula mendapat pengiktirafan dan penghargaan daripada agensi kerajaan dan organisasi lain yang berminat untuk belajar daripada PSR,” katanya.
Farizan berkata, banyak usaha telah dibuat sejak 2015 untuk memastikan PSR dapat membangunkan negeri dan rakyat Pulau Pinang.
“Walaupun pembinaannya masih belum boleh bermula, kerajaan negeri telah mula melaksanakan program-program yang memanfaatkan komuniti setempat.
“Usaha ini akan diteruskan sepanjang pelaksanaan projek setelah segala kelulusan diperoleh.
“Kami percaya penduduk yang tinggal paling berdekatan dengan tapak projek adalah golongan yang paling wajar mendapat manfaat pembangunan sebelum rakyat lain,” katanya. –UTUSAN ONLINE
Sorry, the comment form is closed at this time.