Latest News
PTMP Map
PSI
 

P. Pinang akan kemukakan semula permohonan EIA PSR sebelum Mac 2022

P. Pinang akan kemukakan semula permohonan EIA PSR sebelum Mac 2022

Published by Bernama • 11/12/2021 • 06:58 pm

GEORGE TOWN, 11 Dis — Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengemukakan semula Laporan Kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi pelaksanaan tiga pulau buatan melalui Projek Tambakan Laut di Perairan Selatan Pulau Pinang (PSR) sebelum Mac 2022.

 

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ketika ini kerajaan negeri bersama rakan pelaksana, SRS Consortium, sedang mengemas kini laporan EIA dan data impak sosial untuk dikemukakan semula kepada Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi proses kelulusan semula.

 

“Kerajaan negeri berharap permohonan itu diluluskan bagi meningkatkan kebolehidupan dan kualiti hidup serta menyediakan infrastruktur untuk meningkatkan daya tahan Pulau Pinang dalam menghadapi cabaran ekonomi dan perubahan iklim.

 

“Kerajaan negeri bakal mengadakan pameran awam selama satu bulan setelah permohonan dihantar kepada JAS untuk penilaian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) di Sungai Batu hari ini.

 

Chow berkata sesi libat urus bersama pihak perindustrian mendapati respons mereka amat memberangsangkan untuk Pulau A (PSR) dibina sebagai taman teknologi hijau yang berteraskan elemen persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG), yang mematuhi peraturan dunia terkini.

 

“Jika kita tidak mengaplikasikan ESG, para pelabur akan mencari lokasi lain… Pulau Pinang bakal meraikan 50 tahun dalam industrialisasi tahun hadapan, jadi kita perlu maju dengan pulau industri hijau ini,” katanya.

 

Pada 8 Sept lepas, JAS telah mengetepikan kelulusan EIA bagi projek itu setelah menerima permohonan sejak 2019.

 

Projek PSR seluas hampir 17 kilometer persegi membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas, dengan pelbagai projek infrastruktur dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) yang bernilai kira-kira RM46 bilion.

 

Berikutan kegagalan mendapatkan kelulusan EIA itu, Chow berkata kerajaan negeri tidak boleh meneruskan skim Pelan Pelaksanaan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) yang akan memanfaatkan komuniti seperti bantuan kewangan, pemberian bot dan enjin, skim latihan dan kemahiran, skim pendidikan anak nelayan, peluang pekerjaan dan perniagaan serta bantuan perumahan.

 

“Di dalam SIMP, kita juga mempunyai perancangan membina empat jeti dan satu aluran navigasi sepanjang 100 meter bagi membolehkan nelayan di Sungai Batu ini turun ke laut tanpa mengira ketika air pasang atau surut.

 

“Sekarang, ketika air surut nelayan sukar untuk turun ke laut… namun, selagi EIA tidak diluluskan, kita tidak boleh meneruskan skim ini,” katanya.

 

Mengenai PPSN Sungai Batu, beliau berkata pusat sehenti yang ketiga dibina itu bertindak sebagai platform perantara antara kerajaan negeri dan komuniti nelayan setempat bagi menyalurkan informasi dan perincian mengenai PSR yang beroperasi bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang.

 

— BERNAMA

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.