10 Dec Orang Penang letih dengan jalan sesak
HASRAT penduduk Pulau Pinang yang mahu melihat sistem pengangkutan yang lebih efisien sekali gus menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya yang membelenggu sejak sekian lama di negeri ini mungkin tercapai dengan kewujudan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dari Georgetown ke Bayan Lepas tidak lama lagi.
Cadangan kerajaan negeri yang mahu membangunkan sistem LRT itu sudah pun mendapat kelulusan kerajaan, malah pada sesi pendengaran awam sebelum ini, seramai 22,678 daripada 23,218 responden bersetuju dengan hasrat tersebut.
Hanya 540 bantahan sahaja yang diterima daripada orang awam mengenai projek berkenaan, namun bukan kesemua tidak bersetuju sebaliknya ada dalam kalangan mereka yang mempertikaikan mengapa jajaran LRT tidak melalui kawasan mereka dan ada yang mempersoalkan jarak stesen LRT yang akan dibina.
Walaupun terdapat pelbagai polemik dan siri bantahan oleh pihak tertentu mengenai projek itu namun hasil daripada pendengaran awam selama tiga bulan bermula pertengahan Ogos dan berakhir pada 19 November lalu, kerajaan negeri menerima lebih banyak respon positif.
Sesi pemeriksaan awam berhubung projek itu dijalankan sebagai menepati sebahagian syarat yang dikemukakan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Tujuan sesi pemeriksaan awam yang diadakan juga adalah bagi membolehkan pemegang taruh dan orang ramai memberi pandangan terhadap cadangan pelaksanaan projek.
Seterusnya, pihak pemohon iaitu kerajaan negeri perlu memberikan penjelasan mengenai isu yang dibangkitkan dalam borang maklum balas yang diterima.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan memberikan keterangan dan penjelasan sewajarnya berhubung isu berbangkit berkenaan projek berkenaan menerusi rakan pelaksana projek SRS Consortium.
Menurutnya, antara isu-isu yang dibangkitkan termasuk lokasi jajaran, jarak stesen dan isu kesesakan lalu lintas semasa pelaksanaan projek.
“Tidak semestinya mereka yang membantah tidak bersetuju dengan cadangan pelaksanaan ini sebaliknya mereka ada pertimbangan tertentu seperti yang dinyatakan (dalam borang maklum balas),” katanya.
Projek LRT Bayan Lepas ialah antara projek yang dirangka menerusi Pelan Induk Pengangkutan (PIP) merangkumi jajaran 29.9 kilometer membabitkan 27 stesen.
Jajaran itu melalui Gelugor, Bayan Baru, Bayan Lepas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) sebelum berakhir di tapak cadangan tebus guna projek PSR.
Mengikut cadangan dalam PIP, kerajaan negeri berhasrat merangka strategi pengangkutan yang komprehensif, cekap dan bersepadu seiring sistem pengangkutan moden serta menyeluruh di antara darat dan laut untuk rakyat Pulau Pinang.
Ia terdiri daripada pelbagai sistem dan perkhidmatan pengangkutan seperti LRT, monorel, transit aliran bas, trem, teksi, e-hailing, feri dan teksi air. Peningkatan sistem pengangkutan itu bermatlamat mencapai nisbah 40:60 bagi penggunaan pengangkutan awam dan penggunaan kenderaan persendirian menjelang tahun 2030.
Projek utama yang bernaung di bawah PTMP adalah Bayan Lepas LRT (BLLRT) dan Lebuh Raya Pan Island Link 1 (PIL1).
Pelan induk pengangkutan awam turut menggariskan rangkaian transit bersepadu berkapasiti jangka panjang demi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di Pulau Pinang.
Strategi pengangkutan awam itu direka khusus seiring penambahbaikan rangkaian jalan dan lebuh raya dalam usaha mencapai kemajuan holistik dan peningkatan kecekapan pengalaman perjalanan orang awam.
Selain itu, ia dapat merealisasikan perjalanan yang lancar tanpa kesesakan lalu-lintas dan perjalanan lebih selamat dan menjimatkan kos.
Malah, kemajuan itu akan meningkatkan produktiviti dengan penjimatan masa sekali gus orang ramai dapat meluangkan masa untuk perkara yang lebih berfaedah.
Pastinya rakyat Pulau Pinang sudah tidak sabar menunggu pembangunan dan perubahan yang ingin dilakukan di negeri ini agar masalah kesesakan yang menghantui sejak sekian lama diselesaikan.
Sorry, the comment form is closed at this time.