Latest News
PTMP Map
PSI
 

Nelayan diseru segera berdaftar di PPSN sebelum 8 Mac 2021

Nelayan diseru segera berdaftar di PPSN sebelum 8 Mac 2021

Published by Buletin Mutiara • 24/02/2021

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menyeru sembilan unit nelayan selatan Pulau Pinang untuk segera mendaftarkan maklumat mereka di Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) sebelum 8 Mac 2021.

 

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, sehingga 23 Februari lalu hanya 423 nelayan tampil membuat pendaftaran di PPSN daripada keseluruhan nelayan seramai 1,615 orang.

 

Jelasnya, proses pengumpulan maklumat nelayan ini adalah bertujuan untuk membolehkan para nelayan memberikan maklum balas secara terus kepada Kerajaan Negeri tanpa melalui orang tengah.

 

“Selain mendengar maklum balas mereka berhubung pakej tawaran saguhati di bawah skim cadangan Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP), pendaftaran nelayan antara lain juga bertujuan untuk mengemaskini maklumat nelayan dan keluarga mereka termasuk anak-anak.

 

“Ia adalah untuk perancangan program pendidikan jangka pendek dan panjang, menyalurkan maklumat sahih berhubung pelaksanaan Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR), memaklumkan tentang bayaran yang dilakukan serta membolehkan program perniagaan, latihan pekerjaan dan lain-lain disampaikan kepada nelayan berminat yang berdaftar dengan PPSN.

 

“Pengumpulan maklumat ini adalah penting untuk membolehkan Kerajaan Negeri menyempurnakan pelaksanaan SIMP,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Taskforce Nelayan Pulau Pinang.

 

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PICSB), Datuk Seri Farizan Darus; Setiausaha Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN), M. Maheswari dan wakil SRS Consortium selaku rakan pelaksana projek (PDP).

 

SIMP kini yang sedang dijalankan sejak dua minggu lalu bertempat di PPSN Permatang Damar Laut dan Gertak Sanggul bakal berakhir pada 8 Mac 2021.

 

Dalam perkembang berkaitan, Ahmad Zakiyuddin memberitahu bahawa pendaftaran nelayan terlibat dengan PSR diuruskan secara langsung oleh PPSN dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

 

“Nelayan perlu membuat temu janji dengan PPSN sebelum hadir membuat pendaftaran memandangkan kita dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) maka sehari hanya 20 nelayan akan berdaftar,” tambahnya.

 

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin sebagai mengulas berkata sejak akhir-akhir ini, terdapat pihak-pihak tertentu yang cuba menggagalkan usaha Kerajaan Negeri untuk mendapatkan maklumat nelayan.

 

“Kesemua dakwaan yang tular adalah tidak benar kerana Kerajaan Negeri sememangnya komited untuk memberi tawaran sebagaimana yang ditawarkan setelah ia dimuktamadkan.

 

“Manakala, berhubung kenyataan bahawa projek PSR tidak harus berjalan selagi rayuan kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) masih belum selesai, sekali lagi ingin ditegaskan bahawa proses rayuan tersebut tidak menjejaskan kerja yang dijalankan.

 

“Setakat ini, Kerajaan Negeri tidak menerima injuksi atau perintah sekatan atau arahan berhenti kerja (stop work order) yang melarang proses pengumpulan maklumat nelayan,” tegas beliau.

 

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.