10 Dec Najib salah faham tentang PIL1, kata Ketua Menteri Pulau Pinang
Chow berkata, kerajaan mahu membersihkan salah faham dan menyangkal kenyataan salah yang terkandung dalam catatan Najib
di Facebook. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2019.
KOS untuk membina Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL1) yang dicadangkan adalah RM7.5 bilion dan bukan RM9 bilion seperti dinyatakan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, jelas kerajaan Pulau Pinang hari ini.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, kerajaan mahu membersihkan salah faham dan menyangkal kenyataan salah yang terkandung dalam catatan Najib di Facebook.
Minggu lalu, Najib mengecam projek mega lebuh raya 19.5km itu di laman sosial Facebooknya dengan mengatakan kerajaan akan jimat RM9 bilion sekiranya projek itu dihentikan.
RM9 bilion itu katanya cukup menyelesaikan hutang Felda sebanyak RM8 bilion dengan RM1 bilion diberikan bantuan kepada rakyat dan petani.
PIL1 sebahagian daripada Rancangan Induk Pengangkutan Jalan (PTMP) multibillion ringgit negeri diperkenalkan untuk menyelesaikan masalah lalu lintas yang semakin teruk di Pulau Pinang.
Dalam maklum balas hari ini Chow berkata, isu itu sengaja dibesar-besarkan oleh Najib dengan banyak kesalahan fakta yang hanya mengelirukan orang ramai dengan niat mengurangkan sokongan awam terhadap projek itu.
Katanya, kos untuk lebuh raya menghubungkan Persiaran Gurney di bahagian utara pulau ke selatan Bayan Lepas dan mempunyai terowong itu hanya sebanyak RM7.5 bilion.
“Tidak ada kenaikan kos. Membandingkan kos antara projek lain tanpa mempertimbangkan pelbagai faktor hanya megelirukan rakyat,” katanya.
PIL1 yang dicadangkan itu akan menembusi kawasan bukit di Bukit Bendera, Paya
Terubong dan Sungai Ara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2019.
Tak boleh bandingkan PIL1 dengan lebuh raya lain
Chow berkata, projek PIL1 tidak boleh dibandingkan dengan lebuh raya lain kerana setiap lebuh raya berbeza.
Kos pembinaan setiap kilometer tidak boleh digunakan pada aritmetik mudah kerana setiap lebuh raya mempunyai ciri unik tersendiri bagi memenuhi syarat tempatan.
“Pertimbangan lain merangkumi kos kejuruteraan unik yang dipadankan dengan lebuh raya yang dicadangkan disebabkan keadaan tapak, keperluan teknikal dan meminimumkan kesan sosial dan alam sekitar.
“Bagi PIL1, 7.6km daripadanya dibina dengan ketinggian sehingga 31m dan 10.1km terowong. Panjangnya terdiri dari tambak yang menghubungkan terowong ke strukur tinggi.
“Sehingga kini tiada konfigurasi penyelarasan dengan magnitude yang sama dibina di Malaysia,” katanya. Projek itu juga akan dibiayai menerusi penambakan Pulau Pinang Selatan (PSR), satu lagi usaha dilakukan kerajaan untuk menuntut semula tiga pulau di pesisir selatan Pulau Pinang.
Pulau itu kemudiannya akan dilelong untuk mengumpul dana membayar PIL1 dan komponen lain PTMP selain memberi tanah tambahan Pulau Pinang untuk perkembangan masa depan.
“Semua projek PTMP dilaksanakan berdasarkan tender terbuka iaitu berdasarkan kadar pasaran pada masa pelaksanaan dan setiap tawaran dinilai dengan ketat mengikut kriteria ditetapkan.
“Oleh itu isu kenaikan kos tidak timbul,” katanya. – 13 Februari, 2019.
Sorry, the comment form is closed at this time.