10 Dec Hanya 4% ikan P Pinang dari kawasan tambakan, kata Ketua Menteri
Published by Free Malaysia Today • 09/06/2021 • 04:13 pm
Nelayan di Teluk Kumbar di pantai selatan Pulau Pinang membantah cadangan projek penambakan pada Mac tahun lalu.
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang berkata, dakwaan bahawa hasil tangkapan ikan akan menurun akibat penambakan di pantai selatan negeri itu tidak mungkin berlaku kerana kawasan tersebut hanya menyumbang 4% daripada jumlah pendaratan ikan pada 2015.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, ketika itu (2015) Pulau Pinang mengalami penurunan dari segi jumlah pendaratan ikan dengan lebihan sekitar 12,000 tan berdasarkan data Jabatan Perikanan.
Katanya, berdasarkan senario itu, sangat mustahil projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) boleh menjejaskan keselamatan makanan seperti yang sering didakwa oleh masyarakat awam dan NGO alam sekitar.
Chow berkata, hakikatnya 90% nelayan di pantai selatan Pulau Pinang, yang merupakan lokasi pulau itu akan ditambak semula, adalah nelayan laut dalam yang keluar melebihi radius lapan batu nautika.
“Suka saya mengingatkan bahawa kebanyakan nelayan pesisir pantai menangkap ikan di luar lokasi PSI yang diperuntukkan.
“Sudah banyak kali kami dapati nelayan ini membawa bot mereka jauh dari PSI,” katanya merujuk kepada singkatan baru PSR.
Chow berkata, 10% yang lain adalah nelayan darat.
Katanya, 530 nelayan daripada sembilan unit nelayan sudah mendaftar untuk mendapat manfaat daripada projek PSR melalui rancangan pengurusan impak sosial.
Beliau berkata, nelayan ini akan menerima bot dengan enjin dan empat jeti pendaratan baharu. Katanya, seramai 6,153 orang terlibat dalam perbincangan mengenai PSR sejak 2015.
Tambahnya, bantahan melibatkan nelayan ketika ini bukan kerana kerja tambakan, sebaliknya kekurangan stok ikan seiring dengan trend global akibat penangkapan ikan berlebihan.
Chow mengulangi bahawa nelayan tidak mungkin kehilangan mata pencarian mereka akibat tambakan laut tersebut.
“Kami tidak bersetuju untuk membatalkan projek itu. Kami tidak perlu memilih antara PSI, alam sekitar dan nelayan. Kemajuan teknologi dan kejuruteraan memungkinkan kita membina PSI dan memelihara alam sekitar serta masyarakat pada masa yang sama.
“Kami tidak pernah menafikan bahawa projek itu akan memberi kesan, tetapi kami sentiasa berkongsi dengan orang ramai bagaimana untuk mengurangkan kesannya, mewujudkan habitat baharu untuk hidupan laut dan memberi lebih banyak pekerjaan dan peluang perniagaan kepada nelayan dan penduduk lain,” katanya.
Perkara lain yang disebut dalam maklum balasnya adalah:
- Pulau A yang berada betul-betul di bawah landasan lapangan terbang Pulau Pinang akan berada sekurang-kurangnya 3m di atas paras laut.
- Kira-kira 20% dari tiga pulau itu akan disimpan sebagai kawasan tanah lembap bakau sepanjang 4km, dataran banjir dan kawasan hijau lain.
- 5,000 projek rumah mampu milik “midrise” dengan laluan transit berhampiran jalan air terusan, taman awam, sekolah, pusat sukan masyarakat dan kemudahan awam lain akan dibina.
- Penilaian impak persekitaran PSR/PSI yang diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar pada 25 Jun 2019 dengan 72 syarat, termasuk rancangan pengimbangan untuk meminimumkan kesan dan mewujudkan habitat baharu bagi hidupan laut.
Sorry, the comment form is closed at this time.