10 Dec Batal, tangguh tambak laut beri kesan ekonomi besar kepada Pulau Pinang
Published by Utusan Malaysia • 26/11/2021 • 11:53 am
ZAIRIL KHIR JOHARI
GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang secara dasarnya tidak akan menghadapi implikasi kewangan yang berat sekiranya pelaksanaan projek tambak laut di perairan selatan negeri itu (PSR) tertangguh atau terbatal.
Begitu pun, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, kesan kehilangan projek itu terhadap ekonomi Pulau Pinang adalah sangat besar untuk jangka masa panjang.
Ini kerana jelas beliau, sebagai sebuah negeri perindustrian, Pulau Pinang juga perlu menyediakan tanah untuk menarik pelabur asing yang baharu pada masa depan.
Tambahnya, ketiadaan tapak industri seperti Green Tech Park bagi perkembangan industri berteknologi tinggi masa depan bermakna Pulau Pinang akan kehilangan peluang untuk menarik pelaburan bernilai berpuluh bilion ringgit.
“Ini akan menjejaskan reputasi Pulau Pinang sebagai sebuah destinasi pelaburan dan pertumbuhan ekonomi negeri pada masa depan.
“Malah, implikasi lain kepada Pulau Pinang ialah kehilangan peluang pekerjaan, perniagaan dan pendapatan kepada rakyat dan syarikat tempatan yang menanti peluang,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Tambah Zairil (DAP-Tanjong Bungah), ketiadaan projek itu juga bererti kehilangan peluang untuk kawasan Pulau Pinang selatan menikmati kemajuan.
“Komuniti nelayan juga tidak dapat menikmati manfaat yang sedang dirancang dan diatur di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial dan program penglibatan komuniti yang dijenamakan sebagai Pelitaku,” katanya.
Semalam, Mesyuarat Agung Ke-36 Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (Pen Mutiara) yang mewakili kira-kira 6,000 golongan nelayan sebulat suara meluluskan resolusi menolak sebarang projek tambak laut di seluruh negeri itu termasuk PSR dan di Bagan Ajam, Butterworth dekat sini.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini memaklumkan akan memulakan proses mengemukakan semula laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) projek PSR itu kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) selepas tiga anggota Lembaga Rayuan JAS mengetepikan kelulusan terdahulu pada September lalu.
Pelaksanaan projek PSR membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut, Bayan Lepas itu dirancang bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) bernilai kira-kira RM46 bilion.
Sorry, the comment form is closed at this time.