Latest News
PTMP Map
PSI
 

P.Pinang dijangka meterai subperjanjian pakej kedua PTMP 15 Jan ini

P.Pinang dijangka meterai subperjanjian pakej kedua PTMP 15 Jan ini

GEORGE TOWN, 6 Jan — Kerajaan Pulau Pinang berurusan dengan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC) seperti biasa dengan subperjanjian untuk pakej kedua Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bersama syarikat tersebut dijangka dimeterai pada pertengahan bulan ini.

 

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pada masa ini, kerajaan negeri masih berunding dengan syarikat tersebut melibatkan, antaranya reka bentuk dan pertukaran tanah untuk pembinaan lebuh raya.

 

“Pakej kedua ini melibatkan Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu ke Air Itam,” katanya pada sidang media, di sini hari ini. Beliau mengulas laporan sebuah portal yang menyifatkan projek terowong itu mendapat nafas baharu apabila pemaju yang berpangkalan di Kedah bersetuju mengambil alih projek terbabit melalui pembelian majoriti saham dalam CZC. Chow bagaimanapun tidak mengulas lanjut dan hanya memaklumkan kerajaan negeri diberitahu mengenai penstrukturan ekuiti yang berlaku dalam konsortium berkenaan.

 

Beliau juga berkata rancangan bagi projek pembinaan terowong dasar laut tidak akan terjejas biarpun berlaku penstrukturan ekuiti dalam syarikat pemajunya CZC kepada ECK Development Sdn Bhd.

 

Projek PTMP adalah inisiatif kerajaan negeri dengan anggaran kos RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut yang menghubungkan pulau dengan tanah besar, lebuh raya, LRT, perkhidmatan monorel dan rangkaian bas komprehensif di pulau dan tanah besar.

 

Projek terowong dasar laut sejauh 7.2 kilometer itu bakal menghubungkan Persiaran Gurney di sini ke Bagan Ajam di daerah Seberang Perai Utara dengan pembinaannya dijangka bermula pada 2023.

 

— BERNAMA

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.