10 Dec PTMP: Projek pertama akan mula dibina Februari ini
GEORGE TOWN, 15 Jan — Kerja-kerja pembinaan laluan pintasan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam, di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dengan jarak sepanjang enam kilometer, akan bermula 1 Feb ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata pelaksanaan pembinaan jalan pintasan (bypass) ini dijangka siap pada 3 Jan 2025 dan akan memanfaatkan penduduk Pulau Pinang dari segi pengurangan tempoh masa perjalanan.
“Ini merupakan projek pertama yang dimulakan di bawah PTMP dan dilihat sebagai satu “milestone achievement” yang penting dalam usaha meneruskan pelaksanaan Projek Tiga Jalan-Jalan Utama dan Terowong Dasar Laut, bagi meleraikan trafik dan mengurangkan kesesakan jalan raya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Chow telah menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Supplemental Agreement kepada Sub-Agreement Pakej 2 Jalan Pintasan Dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC) di sini.
Beliau berkata dengan perjanjian itu, CZC akan memulakan kerja pembinaan pada 1 Feb yang bertujuan mengurangkan kesesakan jalan raya di samping bertindak sebagai satu kaedah penyelesaian jangka masa panjang. PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos keseluruhan dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.
Selain pakej 2, terdapat tiga lagi pakej di bawah PTMP iaitu pakej 1 melibatkan pembinaan lebuh raya menghubungkan jalan pesisir pantai utara Tanjung Bungah – Teluk Bahang, pakej 3 menghubungkan Jalan Pangkor-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu manakala pakej 4 merupakan projek terowong dasar laut.
— BERNAMA
Sorry, the comment form is closed at this time.