10 Dec Pulau Pinang kembangkan pusat nelayan untuk bantu rakyat
Published by Utusan Malaysia • 01/08/2021 • 12:05 pm
KONTRAKTOR menjalankan kerja-kerja memangkas pokok sebagai persediaan untuk membina PPSN Sungai Batu, Pulau Pinang yang baharu sebagai pengantara antara rakyat dan kerajaan negeri berhubung projek PSR.
GEORGETOWN: Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) yang berfungsi sebagai pengantara antara rakyat dan kerajaan negeri berhubung Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) akan dikembangkan bagi memastikan kepentingan komuniti nelayan dan masyarakat setempat terus terjaga.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, projek pembesaran yang melibatkan pembinaan PPSN baharu di Sungai Batu dan kerja menaik taraf PPSN Permatang Damar Laut dan Gertak Sanggul akan memperkasakan peranan PPSN sebagai pusat sehenti untuk semua urusan komunikasi yang berkaitan dengan nelayan.
Katanya, selain itu projek pembesaran dan menaik taraf PPSN juga memberi peluang perniagaan kepada kontraktor tempatan.
“Fungsi PPSN sebagai pengantara antara rakyat dan kerajaan negeri adalah menangani maklum balas nelayan berhubung dengan PSR.
“Projek pembesaran ini akan mempertingkatkan mutu perkhidmatan PPSN untuk manfaat komuniti nelayan dan ahli masyarakat selatan Pulau Pinang,” katanya di sini baru-baru ini.
PPSN yang pertama dibuka di Permatang Damar Laut pada 2016 disusuli PPSN di Gertak Sanggul setahun kemudian.
Difahamkan, PPSN adalah salah satu syarat Laporan Kajian Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) projek PSR yang diluluskan Jabatan Alam Sekitar pada 2019.
Zakiyuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Taskforce Nelayan berkata, projek pembesaran yang dijangka siap pada Oktober tahun ini akan dilaksanakan oleh syarikat kontraktor tempatan yang memerlukan bantuan setelah terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kita berharap dapat membantu perniagaan tempatan yang terjejas akibat pelaksanaan PKP. Satu cara adalah mewujudkan peluang perniagaan melalui PPSN dan PSR supaya mereka dapat mencari rezeki,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri juga komited dalam membantu komuniti selatan Pulau Pinang.
“Projek pembesaran PPSN akan meluaskan jangkauan perkhidmatannya untuk memberi perhatian, sokongan dan bantuan kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, kontraktor tempatan yang akan membina PPSN Sungai Batu, Mohd. Kamal Abdullah, 39, berkata, dia bersyukur kerana mendapat kontrak tersebut setelah perniagaannya terjejas sejak sebelum penularan Covid-19.
“Syarikat kecil seperti perniagaan saya akan melakukan semua kerja sendiri dan tidak menggunakan subkontraktor. Projek PPSN Sungai Batu ini memberikan saya dan pekerja saya pendapatan,” katanya.
Sorry, the comment form is closed at this time.