Latest News
PTMP Map
PSI
 

Projek PSI pacu peningkatan sosial, pembangunan jangka panjang

Projek PSI pacu peningkatan sosial, pembangunan jangka panjang

Published by Buletin Mutiara • 13/08/2021

GEORGE TOWN – Pelan Pengurusan Alam Sekitar atau Environmental Management Plan (EMP) bagi Projek Penang South Islands (PSI) telah diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang pada 31 Mei 2021.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PIC), Dato’ Seri Farizan Darus berkata, kerja-kerja persiapan bagi projek tersebut telah dilakukan sejak lima tahun lalu berdasarkan objektif untuk menyediakan tanah bagi pembangunan jangka panjang Pulau Pinang, iaitu 50 tahun akan datang.

FARIZAN Darus.

“Projek PSI bukan sekadar mewujudkan tanah baru untuk pembangunan negeri pada masa depan tetapi lebih penting lagi, projek ini memberi peningkatan sosial kepada masyarakat setempat termasuk para nelayan.

 

“Projek ini juga telah dikenal pasti oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai salah satu komponen pemacu pemulihan ekonomi negeri ini yang akan memberi manfaat terhadap lain-lain sektor berkaitan,” ujarnya melalui satu kenyataan oleh PIC.

 

Menurut Farizan, sebelum proses penambakan dimulakan, projek PSI ini telahpun membuka ruang pekerjaan yang stabil bukan sahaja kepada nelayan tetapi juga masyarakat setempat dan graduan baru dalam kalangan anak-anak tempatan.

 

“Setakat ini, lebih 120 individu termasuk nelayan tempatan telah mendapat pekerjaan dalam projek ini.

 

“Mereka kini memperolehi pendapatan yang stabil dan menikmati faedah seperti perlindungan insuran, Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dan caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) yang sebelumnya tidak pernah mereka miliki.

 

“Bahkan, projek ini juga berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan profesional dan juga mereka yang dalam kumpulan bukan profesional serta teknikal,” katanya.

 

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman ketika ditemui menyambut baik usaha yang dilakukan demi memastikan peningkatan sosial berterusan.

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

“Peningkatan sosial terutamanya golongan nelayan merupakan keutamaan Kerajaan Negeri, justeru, RM100 juta diperuntukkan di bawah projek ini untuk membiayai program berkaitan termasuk mewujudkan inisiatif peningkatan perikanan.

 

“Antara inisiatif yang bakal dan sedang dilakukan kini adalah bantuan kewangan, bot dan enjin baru, pembangunan empat jeti nelayan baru, peluang pekerjaan dan perniagaan baru, latihan penempatan semula, tuisyen percuma dan biasiswa pendidikan kepada golongan nelayan yang terlibat dalam pembangunan projek PSI ini,” jelas Zakiyuddin yang juga Pengerusi Taskforce Nelayan.

 

Tambah beliau, apabila PSI dibangunkan kelak, laluan para nelayan untuk ke laut tidak terhalang kerana adanya laluan navigasi selebar 250 meter yang disediakan untuk para nelayan.

 

“Selain itu, melabuhkan tukun tiruan dan unjam, pelepasan benih ikan dan udang, penanaman bakau dan pembiayaan penyelidikan perikanan bagi meningkatkan ekosistem pesisir pantai juga bakal dilaksanakan demi kelestarian sektor perikanan,” jelasnya lagi.

 

Data yang diperoleh PIC berpandukan Laporan Jabatan Perikanan Malaysia dari tahun 2013 sehingga 2019, sebagai dipetik, telah menunjukkan bahawa projek tambakan laut hanya mendatangkan kesan yang minimum terhadap sektor perikanan di negeri ini.

 

Penambakan di Tanjung Tokong dan Teluk Bayan masing-masing bermula pada tahun 2016 dan 2017 tidak menunjukkan kemerosotan pendaratan ikan di kawasan tersebut.

 

Pendaratan ikan laut dari tahun 2017 hingga 2019 sebenarnya telah meningkat dari 153,864 tan kepada 157,734 tan setelah penambakan di kedua-dua kawasan itu bermula.

 

Malah, purata pendaratan ikan untuk seorang nelayan juga meningkat sebanyak 40.5 peratus iaitu daripada 7.66 tan kepada 10.76 tan.

ADAM Anuar.

Dalam pada itu, seorang nelayan muda, ADAM ANUAR berkongsi pengalaman setelah menerima tawaran kerja melalui projek PSI ini.

 

“Sebelum ini saya tidak mampu menyimpan duit apatah lagi membeli motosikal. Namun setelah bekerja di bawah projek ini, saya kini mampu membuat bayaran ansuran bagi motosikal saya termasuk membiayai sewa bulanan rumah,” katanya.

 

Seorang lagi bekas nelayan, SAMSUAR HASSHIM turut mempunyai pengalaman sama.

 

“Kini pendapatan yang diterima lebih stabil dan ia telah memberikan keluarga saya kehidupan yang lebih baik dan selesa,” jelasnya.

SALAH seorang nelayan sedang menaikkan pukatnya.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.