Latest News
PTMP Map
PSI
 

PTMP: Pulau Pinang serah surat kepada PM Isnin ini

PTMP: Pulau Pinang serah surat kepada PM Isnin ini

Kon Yeow (tengah) melawat tapak pembangunan Pasar Prangin di Tapak Sia Boey hari ini.

GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang akan menyerahkan surat permohonan bantuan pembiayaan bagi dua projek infrastruktur di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM20 bilion kepada kerajaan Pusat Isnin ini.

 

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SUK) sedang meneliti kandungan surat itu sebelum diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

“Surat permohonan itu akan diserahkan selewat-lewatnya Isnin ini. Buat masa ini, pejabat SUK masih meneliti kandungan dan bahasa yang sesuai surat berkenaan.

 

“Tujuan kita mengutuskan surat itu adalah untuk memberitahu keperluan dan keinginan kerajaan negeri dalam mendapat geran peruntukan bagi melaksanakan projek-projek ini,” katanya pada sidang media tadi.

 

Kon Yeow ditemui ketika mengadakan lawatan tapak pembangunan Pasar Prangin di Tapak Sia Boey di sini.

Kon Yeow (tengah) melawat tapak pembangunan Pasar Prangin di Tapak Sia Boey hari ini.

Khamis lalu, Kon Yeow mengesahkan Mesyuarat Exco Pulau Pinang bersetuju untuk menulis surat kepada kerajaan Pusat bagi memohon dana untuk Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas dan Lebuhraya Pan Island Link (PIL) bernilai kira-kira RM20 bilion.

 

Beliau berkata, jumlah itu adalah tambahan kepada RM1 bilion yang dimohon sebelum ini iaitu sebagai ‘bridging loan’ (permulaan projek tambakan laut).

 

Bagaimanapun, permohonan pinjaman tambahan itu masih belum diputuskan lagi dan kerajaan negeri masih menunggu.

Kon Yeow berkata, sekiranya permohonan peruntukan itu diluluskan, kerajaan negeri akan mengecilkan skala dan saiz pada tiga pulau buatan dalam Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR).

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.