Latest News
PTMP Map
PSI
 

Pulau Pinang teruskan PSR

Pulau Pinang teruskan PSR

Diterbitkan oleh Berita Harian • 04/06/2021 • 06:09 pm

Pulau Pinang terus kekal dengan pendiriannya mahu melaksanakan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR). – Foto fail NSTP

GEORGETOWN: Pulau Pinang terus kekal dengan pendiriannya mahu melaksanakan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) yang dikatakan bakal menjadi pemangkin bagi pelaburan asing dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi serta menghalang penghijrahan keluar modal insan dan menarik bakat terbaik ke negeri itu.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Zairil Khir Johari, berkata ia berikutan projek itu sudah dirancang dengan teliti dan berpotensi menjadi pembangunan mampan yang mematuhi piawaian persekitaran, sosial serta tadbir urus antarabangsa.

 

“Saya sudah menjawab isu berkenaan dengan panjang lebar mengenai impak sosial dan alam sekitar sebelum ini dan tidak akan mengulanginya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dalam kenyataan semalam, mahu projek itu dibatalkan kerana akan memberi kesan serius dan negatif kepada sosioekonomi serta alam sekitar.

 

Beliau turut mendesak kelulusan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) projek PSR yang diberikan pada tahun 2019 juga dikaji semula.

 

Zairil berkata, paling utama, PSR juga berperanan besar sebagai pemangkin pemulihan pasca COVID-19 seperti diiktiraf Penang Socio-Economic Recovery Consultative Council.

 

Katanya, projek itu dijangka mewujudkan kira-kira 300,000 peluang pekerjaan dan menarik pelaburan asing bernilai RM70 bilion sepanjang tempoh 30 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur Pulau Pinang, Zairil Khir Johari.

“Sekiranya pembinaan dimulakan tahun ini, kita menyasarkan 5,000 peluang pekerjaan dapat diwujudkan dalam lingkungan masa tiga tahun, selain suntikan dana bernilai RM7 bilion ke dalam ekonomi tempatan semasa tambakan pulau yang pertama.

 

“Justeru, desakan menteri bagi membatalkan PSR adalah bersifat hipokrit dan menjadi penindasan politik bertujuan membantutkan kesejahteraan Pulau Pinang dengan membunuh peluang pekerjaan serta menyukarkan pemulihan negeri ini daripada krisis COVID-19,” katanya.

 

Terdahulu, Kerajaan Pulau Pinang bercadang melaksanakan projek PSR dengan keluasan lebih 2,600 hektar bagi membina tiga pulau buatan bagi membiayai Pelan Induk Pengangkutan (PIP) yang dianggar bernilai RM49 bilion dan melantik SRS Konsortium sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP).

 

Namun, projek mega itu mendapat tentangan pelbagai pihak dengan golongan nelayan tradisi di Pulau Pinang yang dikatakan paling teruk terjejas selain ia dilapor boleh mengubah sempadan laut negara dan mungkin menimbulkan masalah dengan negara jiran.

 

Turut menyuarakan pandangan sama ialah Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Menteri Belia dan Sukan, memandangkan projek itu tidak mendapat sokongan penuh rakyat.

 

Beliau mendakwa, petisyen awam ‘Save Penang! Reject the 3 islands Reclamation!’ untuk pembatalan projek itu mendapat lebih 116,000 pernyataan sokongan.

 

Satu lagi petisyen ‘Save Malaysia’s sea turtles!’ yang terkait secara langsung dengan projek PSR turut mempunyai hampir 250,000 pernyataan sokongan.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!