Latest News
PTMP Map
PSI
 

Pembinaan tiga pulau buatan Pulau Pinang diteruskan

Pembinaan tiga pulau buatan Pulau Pinang diteruskan

Diterbitkan oleh Kosmo • 09/06/2021 • 03:24 pm

Pembinaan tiga pulau buatan dalam projek PSR dekat Bayan Lepas akan diteruskan.

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri akan meneruskan projek mega pembinaan tiga pulau buatan atau Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) dekat Bayan Lepas di sini biarpun beberapa pihak mendesak ia dibatalkan.

 

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, pihaknya telah melakukan banyak langkah mitigasi, melaksanakan pelan sosioekonomi untuk nelayan dan memperkenalkan inisiatif hijau untuk pembangunan tersebut.

 

Beliau berkata, adalah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa pelan besar dan komprehensif untuk meningkatkan komuniti nelayan tidak pernah dilakukan sebelum ini dalam mana-mana projek penambakan di negara ini berbanding PSR.

 

“Kami hanya tidak bersetuju untuk membatalkan projek ini.

 

“Kemajuan teknologi serta kejuruteraan membolehkan kita membangunkan PSR dan pada masa sama tetap memelihara alam sekitar dan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, beberapa pihak sebelum ini termasuklah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tunku Jaafar dan beberapa persatuan di Pulau Pinang mendesak projek berkenaan dibatalkan serta-merta.

 

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri sering berkongsi dengan masyarakat tentang rancangan untuk mengurangkan kesan terhadap projek itu, mewujudkan habitat baru untuk hidupan laut, peluang pekerjaan serta perniagaan untuk nelayan dan penduduk setempat.

 

PSR yang dianggarkan menelan belanja RM11 bilion itu merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang turut merangkumi depoh dan stesen transit aliran ringan (LRT), kawasan industri dan perumahan seluas kira-kira 1,821 hektar.

 

Tiga buah pulau dicadang dibangunkan yang dinamakan sebagai Pulau A seluas 930 hektar, Pulau B (566 hektar) dan Pulau C (323 hektar) yang dijangka siap kira-kira 25 tahun.

 

Difahamkan, kerja-kerja awal pembinaan Pulau A di perairan dekat Permatang Tepi Laut, Bayan Lepas telah bermula bulan lalu seperti diumumkan sebelum ini yang dijangka disiapkan dalam tempoh kira-kira sembilan tahun.

 

Kerajaan negeri telah memperoleh kelulusan untuk Kajian Hidraulik, Laporan Penilaian Impak Trafik (TIA), Laporan Penilaian Risiko Trafik Marin (MTRA), dan Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) serta Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Laporan Penilaian Impak Perikanan (FIA) yang telah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). – K! ONLINE

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!