Latest News
PTMP Map
PSI
 

‘Kehilangan Projek PSR boleh beri kesan besar’

‘Kehilangan Projek PSR boleh beri kesan besar’

Diterbitkan oleh BHarian • 26/11/2021 • 02:22 pm

GEORGETOWN: Negeri ini dijangka mengalami kesan ekonomi yang sangat besar untuk jangka panjang sekiranya pelaksanaan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) tertangguh atau terbatal.

 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari, berkata ia boleh merencatkan peluang untuk menarik pelaburan asing bernilai puluhan bilion ringgit ke Pulau Pinang pada masa depan.

 

Ini kerana sebagai sebuah negeri perindustrian, beliau berkata, Pulau Pinang perlu menyediakan tanah bagi menarik pelabur asing yang baharu.

 

“Malah, kehilangan projek itu juga boleh menyebabkan implikasi lain, termasuk kehilangan peluang pekerjaan, perniagaan serta pendapatan bagi rakyat dan syarikat tempatan.

 

“Selain itu, ia turut menjejaskan reputasi Pulau Pinang sebagai sebuah destinasi pelaburan dan pertumbuhan ekonomi negeri pada masa depan,” katanya.

 

Beliau menjawab soalan Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubok) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

 

Mengulas lanjut, Zairil berkata, kehilangan projek itu juga boleh menyebabkan kawasan selatan negeri ini tidak berpeluang menikmati kemajuan daripadanya.

 

“Pelbagai perancangan diatur bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Program Penglibatan Komuniti atau yang kini dijenamakan sebagai Pelitaku, yang akan memberi manfaat khususnya kepada komuniti nelayan di kawasan selatan.

 

“Namun jika projek ini tiada, maka mereka tidak dapat menikmatinya,” katanya.

 

Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Pulau Pinang akan memohon semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berikutan pembatalan kelulusan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) bagi Projek PSR.

Zairil pada sidang DUN Pulau Pinang, hari ini. – NSTP/Mikail Ong

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!